Rawat sakit tapak kaki

Kesakitan di tapak kaki sememangnya 'menyeksakan'.
Kesakitan di tapak kaki sememangnya 'menyeksakan'.
A
A
A

ANTARA keadaan yang paling biasa pada sakit tumit adalah yang dikenali sebagai plantar fascitis.

Keadaan ini berlaku kerana kecederaan mikro dan keradangan pada tisu tapak kaki. Keradangan tisu menyebabkan sakit, bengkak dan lebam.

Fascia / tisu pada tapak kaki terdiri daripada jalur berserabut tisu tebal di bahagian tapak kaki. Ia melapisi dari tumit ke pangkal jari kaki. Ia juga bertindak seperti getah untuk mewujudkan ketegangan dan mengekalkan bentuk kaki.

Apakah gejala sakit pada tapak kaki?

Pada lazimnya sakit tapak kaki adalah sangat tajam dan terletak di pangkal tumit. Ia juga boleh tersebar ke seluruh tapak kaki.

Sakit paling teruk adalah pada waktu pagi bila bangun daripada tidur dan bila mengambil langkah pertama selepas untuk tempoh yang panjang berehat.

Anda juga mungkin mengalami bengkak, sakit bila sentuh tisu tapak kaki dengan kuat (selalunya di tempat yang khusus bahagian dalam tumit).

Senaman ringan boleh mengurangkan sakit untuk sementara. Tetapi berjalan lama sering membuat sakit teruk.

Artikel Berkaitan:

Merehatkan kaki anda biasanya mengurangkan kesakitan.

Kadang-kala sakit dirasai apabila melakukan regangan pada tisu tapak kaki.

Anda mungkin berjalan dengan tempang atau tidak dapat menanggung berat badan pada kaki yang terjejas.

Apakah punca sakit pada tapak kaki?

Anda lebih cenderung untuk mencederakan fascia plantar anda dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh:

- Jika anda banyak berjalan, berlari, berdiri (aktiviti berterusan yang melebihi 1 jam).

- Jika anda mempunyai postur kaki yang lemah (bentuk tapak kaki yang leper atau tinggi).

- Jika anda mempunyai kaki atau sendi pergelangan yang keras.

- Jika anda mempunyai kelemahan otot (terutama otot betis).

- Jika terdapat penggunaan yang berlebihan pada kaki atau regangan secara tiba-tiba pada tapak kaki. (Contoh: latihan yang tidak sesuai atau berlebihan, atlet yang meningkatkan latihan intensiti berjalan atau jarak dengan mendadak).

- Jika anda mempunyai otot yang ketat (terutama otot betis).

- Jika anda mempunyai berat badan berlebihan (ini akan meletakkan tekanan tambahan pada tumit anda).

- Jika anda mempunyai perbezaan panjang kaki.

- Jika anda telah memakai kasut dengan span yang berkurangan atau sokongan yang lemah pada bentuk kaki. (Elakkan memakai kasut yang longgar dengan tapak yang nipis).

Siapakah lebih cenderung mendapat sakit tapak kaki?

Adalah dianggarkan sekitar seorang daripada 10 orang akan mendapat sakit tapak kaki di Amerika Syarikat dalam kehidupan mereka.

Ia adalah dua kali ganda lebih biasa dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Atlet juga lebih cenderung mendapat sakit tapak kaki. Selalunya melibatkan lingkungan orang yang berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Apakah komplikasi jika sakit tapak kaki tidak dirawat?

Mengabaikan sakit tapak kaki boleh menyebabkan sakit menjadi kronik dan memberi kesan pada kehidupan harian seseorang.

Anda juga boleh mendapat masalah pada kaki, lutut, pinggul atau belakang kerana sakit tapak kaki membawa kepada perubahan cara berjalan anda.

Apakah Rawatan Fisioterapi?

Rawatan fisioterapi adalah penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan, memastikan hasil yang optimum dan mengurangkan kemungkinan sakit berulang.

Fisioterapi akan melakukan penilaian pada kaki anda, membantu anda untuk melegakan kesakitan, meningkatkan fleksibiliti otot, meningkatkan kekuatan otot, juga membantu anda untuk merancang kembali aktiviti harian bila gejala beransur pulih.

Rawatan Fisioterapi boleh terdiri daripada:

Ais atau rawatan haba

Elektroterapi (seperti Ultra Sound)

Senaman untuk meningkatkan keseimbangan, kekuatan dan fleksibiliti (terutamanya otot-otot betis)

Urutan tisu lembut

Mobilisasi pada sendi otot

Taping (plaster)

Pendidikan (kasut yang bersesuaian dan pengubahsuaian aktiviti harian)

Sumber: http://www.myhealth.gov.my