Sindiket sijil cuti sakit palsu masuk 'jerat'

Mohd Fahmi (dua dari kanan) menunjukkan buku sijil cuti sakit disyaki palsu yang dirampas susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.
Mohd Fahmi (dua dari kanan) menunjukkan buku sijil cuti sakit disyaki palsu yang dirampas susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan sijil cuti sakit menggunakan nama hospital kerajaan susulan penahanan empat suspek dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

Sindiket yang mula aktif sejak setahun lalu dipercayai menjual kepada pelanggan dengan harga antara RM20 hingga RM25 sekeping.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kegiatan suspek terbongkar susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita oleh anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di hadapan sebuah restoran, Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pemeriksaan menjumpai dua buah buku sijil cuti sakit dan 42 keping sijil cuti sakit dari pelbagai hospital kerajaan disyaki palsu.

Sebahagian rampasan cop dan buku sijil cuti sakit palsu susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.
Sebahagian rampasan cop dan buku sijil cuti sakit palsu susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

"Hasil soal siasat kemudian membawa serbuan sepasukan polis di Rawang serta Kampung Tasek Tambahan, Ampang, Selangor.

"Serbuan berjaya membawa tangkapan seorang lagi suspek lelaki selain rampasan 67 unit cop getah dengan pelbagai nama doktor dari pelbagai hospital serta klinik, buku sijil cuti sakit (39 buah), buku resit rasmi poliklinik dan surgeri (16 buah), stamp pad (1 unit) serta sebuah telefon bimbit," katanya dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, soal siasat mendapati suspek menjual sijil cuti sakit palsu ini di laman sesawang Wechat selain dijual secara langsung melalui rakan terdekat.

Pada kebiasaannya suspek akan berjumpa dengan pembeli di kawasan Kampung Baru dan Danau Kota, Kuala Lumpur.

Sebahagian rampasan cop dan buku sijil cuti sakit palsu susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.
Sebahagian rampasan cop dan buku sijil cuti sakit palsu susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

"Bagi pelanggan yang membeli secara pukal, suspek akan menjualnya dengan harga RM400 sehingga RM450 setiap buku.

Dipercayai buku sijil cuti sakit ini dibeli suspek di kedai percetakan di Kelantan, manakala cop getah dibeli di kawasan Pudu, Kuala Lumpur," katanya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada nama doktor yang tertera di cop sijil cuti sakit berkenaan adalah wujud atau tidak.

Tegasnya, orang ramai dinasihat tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini dan sebarang maklumat berkaitan kegiatan terbabit boleh disalurkan kepada BSJK IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai berhampiran.