Bersatu belum terima borang Shabudin

Marzuki ketika melawat gerai jualan yang dibuka sempena majlis semarak makanan tradisi Johor-Penang petang tadi.
Marzuki ketika melawat gerai jualan yang dibuka sempena majlis semarak makanan tradisi Johor-Penang petang tadi.
A
A
A
SEBERANG JAYA - Bersatu Pulau Pinang belum menerima sebarang permohonan mahupun borang kemasukan ahli daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Pengerusinya, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menerima penyertaan mana-mana individu ke dalam Bersatu namun satu proses tapisan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum menerima permohonan beliau sebagai ahli parti.

"Apa yang lebih penting, beliau perlu menjelaskan kepada rakyat Tasek Gelugor dan pengundinya mengapa dia tinggalkan Umno dan BN seterusnya memilih untuk menjadi ahli parlimen bebas.

"Tugas itu yang perlu beliau lakukan dahulu untuk menyakinkan rakyat di Tasek Gelugor kerana dahulu dia terlalu hebat berkempen mempertahankan Umno dan BN tetapi belum sampai tujuh bulan beliau dah meninggalkan parti itu. Bagaimanapun kita tidak ada masalah sekiranya dia ingin menyertai Bersatu," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis semarak makanan tradisi Johor-Penang di sini, petang tadi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan enam Ahli Parlimen Umno termasuk Shabudin menyerahkan surat keluar parti yang berkuat kuasa serta merta.

Mereka terdiri Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu akan menyertai Bersatu tidak lama lagi.

Sementara itu, Marzuki ketika ditanya adakah beliau akan meneruskan petisyen bantahan keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor sekiranya Shabudin menyertai Bersatu, beliau berkata, proses itu akan tetap diteruskan bagi menuntut kemenangannya di kerusi berkenaan.

Katanya, Mahkamah Persekutuan sebelum ini memerintahkan petisyen pilihan raya untuk mencabar kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk pendengaran.
Artikel Berkaitan:


Pada PRU14 lalu, Shabudin memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 81 undi mengatasi Marzuki.

Dalam pada itu, Marzuki berkata, Umno di Pulau Pinang sudah lagi relevan dan sekiranya ada pemimpin daripada parti itu yang keluar parti, ia tidak memberi sebarang kesan.

"Umno cuma bersisa satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dun sahaja di negeri ini, sama ada mereka nak keluar parti dan sertai mana-mana parti lain ia tidak memberi kesan.

"Kami tidak akan mempelawa mereka untuk menyertai Bersatu namun tiada halangan sekiranya mereka mahu menyertai kami," katanya.