Petronas ceriakan 130 murid

Wan Mohd Hasnan Abdullah (belakang dua dari kanan) dan Tengku Hassan (belakang dua dari kiri) bersama sebahagian murid yang dirai dalam majlis berbuka puasa sempena program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas 2019 di Stadium Negeri.
Wan Mohd Hasnan Abdullah (belakang dua dari kanan) dan Tengku Hassan (belakang dua dari kiri) bersama sebahagian murid yang dirai dalam majlis berbuka puasa sempena program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas 2019 di Stadium Negeri.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 130 orang murid kurang berkemampuan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang dan Mukim Batu Rakit apabila mereka diraikan sempena Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas 2019.

Menerusi program itu, setiap penerima dibawa ke pusat membeli belah sekitar Kuala Terengganu untuk membeli kelengkapan hari raya dengan baucer bernilai RM 300 seorang selain pemberian sumbangan wang tunai berjumlah RM100 seorang.

Selesai membeli belah, penerima dan keluarga turut diraikan di dalam satu majlis berbuka puasa di Stadium Negeri.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Nasrul Hakim Md Noh.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, program itu bertujuan meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan.

“Ia juga membantu membangkitkan kegembiraan mereka membuat persiapan menyambut perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas digerakkan Yayasan Petronas bersama beberapa agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Petronas bekerjasama menyampaikan sumbangan kepada golongan tidak bernasib baik.

Program kemasyarakatan itu bermula 8 Mei lalu dan akan berakhir pada 15 Jun nanti bersempena sambutan bulan Ramadan dan diikuti sambutan Kaamatan, Gawai dan juga Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 2,800 buah keluarga yang kurang bernasib baik dari 13 negeri di seluruh negara bakal menerima sumbangan berupa wang tunai, barang keperluan harian, kelengkapan rumah dan hamper dengan jumlah peruntukan RM815,000.