35 peniaga bazar Ramadan diberi notis perintah mahkamah

Sha'ari berpuas hati dengan seorang peniaga murtabak yang menutup makanannya daripada tercemar ketika melakukan Walkabout di bazar bandar Pekan di sini, semalam.
Sha'ari berpuas hati dengan seorang peniaga murtabak yang menutup makanannya daripada tercemar ketika melakukan Walkabout di bazar bandar Pekan di sini, semalam.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Kesihatan Pahang mengeluarkan notis memerintah kehadiran ke mahkamah kepada 35 peniaga bazar Ramadan di negeri ini yang didapati tidak memenuhi pelbagai kriteria dari segi kebersihan.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata notis berkenaan bertindak sebagai amaran dan peringatan kepada peniaga tersebut dan juga peniaga lain supaya dapat mematuhi peraturan ditetapkan.

"Sepanjang minggu pertama bulan Ramadan, kita telah adakan pemeriksaan sebanyak 811 bazar seluruh negeri dan 35 daripada mereka telah melakukan kesalahan dan diberikan notis.

"Antara kesalahan yang dilakukan pengedali makanan seperti tidak memakai topi, apron atau kasut, berkuku panjang dan memakai perhiasan diri serta berkeadaan tidak bersih semasa mengendalikan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan Walkabout di bazar bandar Pekan di sini, semalam.

Sha'ari berkata notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dan mereka yang diberi notis dipanggil ke mahkamah untuk menjelaskan sebab kegagalan mereka untuk mematuhi aspek kebersihan makanan.

"Jika didapati mereka bersalah mereka boleh dipenjara dua tahun dan denda tidak melebihi RM10,000. Jadi, kita amat mengharapkan agar peniaga menjaga kebersihan diri dan makanan yang hendak dijual," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat pemantauan yang dilakukan oleh 300 anggotanya, tiada kes keracunan makanan diterima akibat makanan yang dibeli daripada bazar Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya juga turut mengambil sebanyak 24 sampel makanan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah sepanjang bulan Ramadan

"Sampel makanan tersebut kita telah hantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang dan kita masih menunggu keputusannya dan pemeriksaan premis bazar akan dilakukan pada setiap hari.

"Sepatutnya peniaga sudah peka terhadap keselamatan makanan kerana taklimat keselamatan makanan telah pun diadakan di setiap daerah melibatkan semua peniaga bazar sebelum bermulanya Ramadan," katanya.

"Kita berharap pembeli juga menghukum peniaga yang tidak menjaga kebersihan makanan supaya mereka sedap kerana kita nak pastikan walaupun sedap tetapi kotor orang tetap tak mahu pergi sebab takut keracunan makanan," katanya.