Panduan bersahabat daripada Rasulullah SAW

Jagalah silaturahim dengan sahabat kita. -GAMBAR HIASAN.
Jagalah silaturahim dengan sahabat kita. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

SEMUA orang mempunyai sahabat, bukan?

Tidak kiralah sama ada sahabat karib, rakan sekerja mahupun teman serumah, semuanya tetap dianggap sebagai sahabat meskipun panggilannya berbeza.

Tujuan bersahabat sebenarnya adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama kita dan Muslim.

Benar, kita punya puluhan dan mungkin ratusan atau ribuan sahabat.

Di antara ramai sahabat kita itu, sudah pasti ada seorang atau dua orang yang paling rapat dengan kita sama ada kita dalam susah mahupun senang.

Justeru, cara bagaimana untuk memastikan hubungan kita dengan sahabat kukuh dan dia sentiasa ada walau apa jua situasi.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW sebenarnya ada memberikan panduan agar persahabatan yang dibina kekal sehingga akhir hayat.

Sabda baginda SAW: "Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam satu majlis serta panggillah dia dengan nama yang paling disenanginya." (Riwayat al-Tabrani)

Artikel Berkaitan:

Walaupun, kita bersahabat, masih ada had-had yang perlu dijaga agar sahabat itu tidak terguris hati dan tiada jiwa yang terluka.

Apapun, kita kena sentiasa berlapang dada dengan kelebihan dan kekurangan sahabat kita.

Apa kata kita cuba cara ini:

1. Bersopan dalam berkata-kata dengan tujuan menjaga emosi dan perasaan.

2. Apabila mengetahui sesuatu yang tidak baik mengenai sahabat, jangan menyebarkannya kepada orang lain.

3. Kehidupan peribadi seperti keluarga dan permasalahan perlu dihormati haknya. Kita jangan terlalu menyibukkan diri untuk menjaga perihal rumah tangga dan sebagainya.

4. Apabila salah seorang telah melakukan kesilapan, berlapang dada apabila ditegur dan biarlah dengan cara berhemah serta tidak mengaibkan maruahnya.

5. Jangan sama sekali memburuk-burukkan sahabat di hadapan orang lain. Elakkan daripada membangga-banggakan sahabat atau memuji-muji dengan mengada-adakan cerita yang tidak benar.

Ingat, dalam menjalinkan persahabatan, perlu jujur dan ikhlas untuk menjalinkan silaturahim sebagaimana yang digalakkan dalam Islam.

Hikmah dalam persahabatan sebenarnya ialah saling memberikan semangat untuk meneruskan hidup ketika salah seorang daripada kita dirundung masalah.

Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberikan motivasi sebagaimana yang baginda lakukan kepada para sahabat.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)