Kenyataan Tun Daim tidak tepat, tersasar

Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Daim Zainuddin
A
A

JOHOR BAHRU - Kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin bahawa program matrikulasi sudah tidak relevan untuk dilaksanakan kerana matlamat asalnya sudah tercapai adalah tidak tepat dan tersasar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat beberapa hujah perlu dipertimbangkan sebelum kenyataan itu dibuat supaya isu tersebut dapat diadili dengan baik dan tidak dipukul rata.

"Pertama, Tun Daim tidak mengemukakan sebarang data untuk menyokong saranannya. Sepatutnya, beliau menunjukkan dengan lengkap data pencapaian orang Melayu dan India dalam bidang sains peringkat STPM dan bandingkan dengan pencapaian bangsa Cina

"Kedua, beliau mesti memahami bahawa program matrikulasi bukanlah pintu belakang untuk orang Melayu dan Bumiputera masuk ke universiti awam di Malaysia," katanya di sini semalam.

Menurutnya, ia adalah instrumen pemberdayaan yang sangat penting kepada kebanyakan golongan Bumiputera dari golongan B40 dan menjadi satu-satunya jalan alternatif membantu dan membongkar potensi sesuai dengan latar sosioekonomi keluarga, kemampuan kewangan, minat dan kecenderungan mereka,

"Ketiga, amat tidak adil untuk mengatakan bahawa memasuki program matrikulasi bermakna pelajarnya kurang bermutu dan tidak berdaya saing kerana kebanyakan pelajar yang terpilih mempunyai prestasi akademik yang baik dan mencukupi.

"Mereka mempunyai potensi dan bakat yang pelbagai. Cuma, semua ini harus diberikan lonjakan serta peluang yang dibangunkan dengan lebih agresif dan berstruktur," katanya.

Mohamed Khaled berkata, keempat, anggapan bahawa pelajar Matrikulasi berhadapan dengan silibus dan ekosistem pembelajaran yang mudah dan tidak kompetitif juga adalah sangat meleset.

"Peperiksaan Matrikulasi adalah setara kualitinya dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Dalam banyak keadaan kualiti silibus dan pembelajarannya bukan sahaja mengikut kehendak semasa, malah adalah lebih inovatif, mendalam, dan sukar berbanding sukatan STPM.

"Ini kerana, Program Matrikulasi dirangka dengan matlamat mempersiapkan pelajar untuk berhadapan dengan tuntutan hidup di universiti secara lebih baik dan komprehensif terutama kepada pelajar luar bandar yang serba ketinggalan," katanya.

Menurutnya, kelima, program matrikulasi adalah satu inisiatif dan ikhtiar bukan ekonomi bagi menyelesaikan masalah kesenjangan dalam negara ini.

"Tun Daim tidak boleh menyangkal bahawa kesenjangan ekonomi, pendidikan dan peluang adalah realiti yang amat ketara, nyata dan semakin membarah di Malaysia.

"Tun Daim harus melihat dalam konteks yang besar betapa program Matrikulasi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Bumiputera dan bukan Bumiputera yang berkemampuan rendah untuk mengubah hidup mereka," katanya.

Mohamed Khaled berkata, selain itu, sudah menjadi trend sama ada di universiti awam mahupun institusi pengajian tinggi swasta tempatan atau luar negara untuk pelajarnya mengikuti program asasi atau matrikulasi di bawah universiti masing-masing.

"Ini bagi memastikan bakal mahasiswa mengikuti satu set pembelajaran dan silibus yang mempersiapkan diri mereka bagi mengikuti program kuliah di pusat pengajian tinggi yang diminati dan sesuai kebolehan mereka," katanya.

"Program matrikulasi bukan sekadar masih relevan, tetapi telah menjadi trend kontemporari dalam pendidikan tinggi," katanya.

Menurutnya, Tun Daim sewajarnya tampil dan memberikan idea dan saranan bagi memperbaiki program matrikulasi dan menjadikannya lebih canggih dalam konteks pendidikan tinggi yang mencabar kini.

"Hal ehwal pendidikan adalah untuk kepentingan sejagat. Sebarang kenyataan haruslah berdasarkan fakta dan norma semasa," katanya.

Sebelum ini, Daim membuat kenyataan bahawa program matrikulasi sudah tidak relevan untuk dilaksanakan pada masa kini kerana matlamat asal penubuhan program bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah tercapai.

ARTIKEL BERKAITAN:Matrikulasi sudah tak relevan kerana matlamat asal telah tercapai: Daim

Beliau berkata, secara dasarnya ketidakseimbangan kaum di universiti sudah ditangani dengan baik.