Jangan dilupakan peristiwa Nakbah

Info dan sejarah Nakbah yang menimpa rakyat Palestin pada tarikh hari ini, 71 tahun lalu dalam Wikipedia. (Gambar kecil:Nurul Amin Hamid)
A
A

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Kedah mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Kedah supaya tidak melupakan sejarah Nakbah yang menimpa rakyat Palestin pada tarikh hari ini, 71 tahun lalu.

Setiap tahun rakyat Palestin memperingati 15 Mei sebagai hari pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan kampung yang turut memberi kesan kepada sejarah kemanusiaan apabila mereka diusir keluar dari tanah air sendiri.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, sejarah itu bukan sahaja penting kepada rakyat Palestin namun kepada seluruh warga dunia kerana ia membabitkan perjuangan untuk menegakkan kasih sayang.

"Ramadan tahun ini, kita menyaksikan bagaimana bumi Palestin diserang habis-habisan oleh zionis Israel sehingga ramai anak kecil dan wanita terkorban. Namun pemuda di sana sedikit tidak lentur semangat untuk bangun dan bangkit mempertahankan negara mereka sendiri.

"Pada tahun ini Nakbah diperingati dengan penuh semangat membara oleh rakyat Palestin kerana kebangkitan yang berterusan. Hari ini selepas 71 tahun, fajar kemenangan sedang menyingsing dan sinar mentari kemenangan semakin jelas di ufuk timur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, rakyat Palestin bukan sahaja tidak pernah mengaku kalah malah perjuangan semakin membara untuk mendapatkan kembali hak yang dirampas sejak 1948.

"Sesungguhnya rakyat Palestin tidak berjuang dengan api dendam, sebaliknya mereka berjuang untuk menegakkan kasih sayang. Dunia harus berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin untuk mengembalikan hak mereka.

"Hanya dengan menebus hak rakyat Palestin yang diambil secara zalim dan tidak berperikemanusiaan akan mengembalikan keamanan dan kesejahteraan di bumi suci yang menjadi rebutan dan rampasan itu," katanya.

Nurul Amin berkata, pihaknya juga kecewa apabila sebuah siaran televisyen menyiarkan nota kaki di televisyen dengan menyebut tentera Palestin adalah militan.

"Kami mendesak pihak pentadbiran televisyen tersebut memohon maaf di atas kenyataan yang tidak beretika itu dan jelas menggambarkan bahawa kerajaan PH tidak berdiri teguh di belakang Palestin," katanya.

Menurutnya, dalam pada itu, semua pemuda di negeri ini dijemput hadir ke Tamrin Dewan Pemuda Pas Kedah pada 24 Mei di Markaz Pas Pokok Sena untuk memperingati peristiwa Nakbah,

"Kami berharap kepada rakyat Malaysia terutama rakyat Kedah supaya berdiri teguh dan bersolidariti kepada Palestin dengan berdoa supaya diberi kemenangan kepada Palestin," katanya.