Pas, UMNO tiada masalah isytihar harta

A
A

Sinar AM 15 MEI 2019

1. Pas, UMNO tiada masalah isytihar harta

Pas tiada masalah untuk mengisytiharkan harta seperti arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pemimpin pembangkang.

Malah, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan memberi keyakinan pimpinan dan ahli Pas terbuka untuk mengisytiharkan harta dan aset mereka.

Menurut Nasrudin, pengisyiharan harta ini bukanlah wajib seperti penjawat awam, sebaliknya terbuka untuk sesiapa yang ingin isytihar.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk membuat peraturan supaya pemimpin pembangkang mengisytiharkan harta mereka.

2. Jangan remehkan kuasa Agong

PKR menyifatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tidak memahami asas undang-undang kerana menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Malah, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Takiyuddin tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong yang telah memberikan pengampunan penuh kepada Anwar pada 16 Mei 2018.

Sehubungan itu, katanya, Anwar layak untuk dicalonkan dan dilantik sebagai Perdana Menteri sesuai kedudukannya sebagai ahli Parlimen yang telah dipilih secara sah.

Merujuk Perkara 42(1) seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, menunda hukuman dan melegakan hukuman.

3. Dua rakan maut, Myvi bertembung lori

Dua sahabat maut selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori tangki di KM52.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Tapah, malam semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Cheong Shaun Wei, 36 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dan Yow Xue Yei, 30 tahun, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.

Katanya, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kereta terbabit.

Pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak cedera.

4. Serangan pengganas: Lebih 32,000 tentera dikerah berkawal

Indonesia mengerahkan lebih 32,000 tentera untuk mengawal keselamatan di sekitar Jakarta susulan menerima maklumat risikan tentang kemungkinan serangan pengganas ketika keputusan rasmi Pemilihan Umum 2019 (Pemilu) diumumkan pada minggu depan.

Agensi keselamatan kini berhempas-pulas untuk menggagalkan cubaan serangan bom itu yang dipercayai dirancang oleh kumpulan militan tempatan.

Jurucakap polis nasional, Dedi Prasetyo berkata, terdapat petunjuk pengganas mungkin akan melancarkan serangan ketika orang ramai berkumpul di bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 22 Mei ini dan pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga secara optimum untuk menggagalkan tindakan sedemikian.

5. Masak murtabak megi atas kereta Kancil

Kreativiti seorang peniaga memasak murtabak megi di belakang kereta Kancil 660cc yang diubah suai menarik perhatian pengunjung Bazar Ramadan JRD, Batang Kali.

Bekas pemandu lori, Yahya Che'an, 65 tahun, berkata, dia berniaga murtabak itu secara sambilan sejak 30 tahun lalu dan sepenuh masa bermula pada 2012 bagi membesarkan enam anak.

Yahya berkata, tangki minyak di kedudukan asal diubah suai ke bahagian tempat duduk hadapan dengan menggunakan tong minyak berkapasiti dua liter.

Menurutnya lagi, dapur masakan dilapik talam berisi air di atas permukaan papan sebagai ruang meletakkan barang niaga.