Derita sakit tulang belakang

Pesakit dinasihatkan berjumpa pakar agar punca kesakitan dapat segera dikenalpasti

A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1

DOKTOR, baru-baru ini saya mengalami kesakitan tulang belakang selepas mengangkat benda berat dan kesakitan itu kemudian telah merebak ke kaki kanan saya. Kesannya, saya tidak boleh melakukan aktiviti harian dan tidur saya juga terganggu. Saya telah diberitahu oleh doctor bahawa saya mengalami disc prolapse (prolaps cakera intervertebral). Doktor mencadangkan saya menjalani pembedahan tetapi saya diberitahu oleh kawan saya bahawa pembedahan tulang belakang akan melumpuhkan saya. Apa nasihat doktor terhadap penyakit saya?

- Sakit Belakang, Joe Anson, 40, Wangsa Maju, Kuala Lumpur

JAWAPAN:

SAKIT tulang belakang merupakan satu-satunya masalah kesihatan yang biasa mengancam orang dewasa. Penyakit itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan kehidupan seharian malah juga keupayaan dan aktiviti harian seperti berkerja.

Pesakit-pesakit yang mengalami kesakitan tulang belakang dinasihatkan agar berjumpa doktor supaya punca kesakitan dapat dikenalpasti dan rawatan yang sesuai boleh diberikan. Sebenarnya, kesakitan belakang boleh berpunca dari otot, sendi, cakera intervertebral, tulang dan saraf.

Pada peringkat awal, kesakitan berpunca daripada cakera (discogenic pain) intervertebral akan mengakibatkan sakit pada belakang dan kadang-kadang boleh merebak ke kaki. Pesakit yang mengalami kesakitan seperti itu sering mengadu bahawa mereka tidak boleh duduk lama lebih-lebih lagi ketika memandu kereta.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Jikalau cakera intervertebral semakin membonjol, saraf kaki akan terhimpit dan menyebabkan kesakitan yang lebih kuat berserta kaki menjadi sakit dan lemah.

Rawatan penyakit cakera intervertebral merangkumi fisioterapi, ubatan, prosedur intervensi dan pembedahan.

Dalam prosedur intervensi, doktor akan menggunakan jarum menyasar ke dalam cakera intervertebral dengan menggunakan teknologi seperti radiofrekuensi, mechanical decompression, laser atau bahan dehidrasi untuk mengecutkan cakera intervertebral yang membonjol.

Prosedur intervensi merupakan rawatan pesakit harian dan pesakit dibenarkan pulang pada hari yang sama selepas prosedur.

Pesakit yang mengalami masalah herniasi cakera intervertebral perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bahagian herniasi untuk melegakan saraf yang terhimpit.

Rawatan sebegitu boleh dijalankan dengan teknik pembedahan endoskopi tulang belakang. Melalui teknik itu, pembukaan kulit hanya melibatkan pembedahan sekitar satu ke dua sentimeter dan kebiasaannya pesakit dibenarkan pulang ke rumah selepas prosedur.

Terdapat kaedah moden merawat masalah tumor otak pada masa ini.
Terdapat kaedah moden merawat masalah tumor otak pada masa ini.

SOALAN 2

Doktor, sebelum ini saya seringkali mengalami masalah sakit kepala. Setelah diperiksa oleh pakar hospital, rupa-rupanya saya disahkan menghidap penyakit tumor di otak. Saya sangat risau dan membayangkan nyawa saya tidak akan panjang. Doktor, apakah punca masalah ini dan bagaimanakah saya dapat mengubatinya?

- Pesakit Tumor, Ranjini Kumar, 35, Bentong, Pahang

JAWAPAN:

PESAKIT-PESAKIT yang disahkan menghidapi penyakit tumor di otak atau ketumbuhan otak perlu diperiksa dengan lebih teliti oleh pakar bedah otak kerana kebanyakan ketumbuhan pada bahagian itu boleh dirawat dengan pembedahan secara selamat.

No Image Caption

Dua pertiga daripada ketumbuhan otak bukan kanser dan kebanyakan masa boleh disembuhkan melalui pembedahan otak atau radiosurgeri.

Punca tumor otak tidak dapat ditentukan, namun, hanya sebilangan kecil tumor otak adalah berpunca daripada genetik seperti syndrom neurofibromatosis.

Pembedahan otak sangat ditakuti oleh orang ramai dan dianggapi berisiko tinggi. Anggapan itu tidak tepat. Pada masa sekarang, dengan pengetahuan yang lebih mendalam dalam kalangan pakar-pakar bedah otak dan kemajuan teknologi yang drastik, pembedahan otak telah jauh lebih selamat dan prognosis penyakit ketumbuhan otak jauh lebih baik.

Contohnya, teknik pembedahan neurosurgeri lubang kunci (keyhole neurosurgery) dan pembedahan otak endoscopy.

Teknik pembedahan neurosurgeri lubang kunci sesuai pada sesetengah pesakit yang mana pembukaan tengkorak dengan saiz tiga ke empat sentimeter sahaja dan dapat mengeluarkan ketumbuhan yang dua ke tiga kali lebih besar daripada lubang pembukaan.

Teknik endoscopy membolehkan pakar bedah otak membuat pembedahan melalui lubang hidung untuk mengeluarkan ketumbuhan seperti tumor kelenjar pituitari. Dengan teknik itu, pesakit boleh dibenarkan pulang ke rumah dua ke tiga hari selepas pembedahan.

Sementara itu, satu lagi pendepatan dipanggil sebagai Gamma Knife. Ia merupakan teknologi merawat ketumbuhan otak dengan menuju radiasi secara tepat pada sasaran iaitu tumor otak tanpa pembedahan.

Bagaimanapun, pemilihan pesakit atau tumor otak yang bersesuaian adalah sangat penting supaya rawatan ini dapat memberi kesan yang paling efektif.

Bukan semua tumor otak sesuai dengan rawatan radiosurgeri. Pesakit perlu berbincang dengan pakar bedah otak dengan teliti supaya boleh mendapat rawatan yang paling optima dan berkesan.

Tumor di otak tidak bermaksud hanya akan berdepan maut.
Tumor di otak tidak bermaksud hanya akan berdepan maut.



Profil Dr Toh Charng Jeng:

Merupakan Pakar Perunding Neurosurgeon dan Interventional Pain, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Penyakit Intervensi Malaysia.

Dr Toh Charng Jeng
Dr Toh Charng Jeng