Isu royalti minyak Kelantan perlu selesai dengan baik: NGO

Nazri Deraman
Nazri Deraman
A
A
A
KOTA BHARU - Badan bukan kerajaan (NGO) Royalti berharap isu pembayaran balik royalti minyak Kelantan dapat diselesaikan dengan baik sempena Ramadan kali ini.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, isu tuntutan royalti ini telah pun berada di peringkat akhir dan telah banyak usaha ke arah merealisasikan hasrat rakyat dilakukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan.

"Sempena Ramadan penuh berkat ini, kami harap agar seluruh rakyat Kelantan dan pencinta keadilan berdoa, melakukan solat hajat dan bermunajat semoga ALLAH permudahkan segala urusan pembayaran royalti petroleum milik Kelantan.

"Kerajaan Persekutuan semestinya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan janji dan manifesto pilihan raya lalu.

"Kerajaan Kelantan pula sememangnya lebih berusaha untuk mendapatkan hak rakyat Kelantan yang telah dinafikan selama lebih 44 tahun.

"Kini masa untuk selesaikan beberapa isu teknikal sahaja. Perkara yang paling penting proses pembatalan saman Kerajaan Negeri terhadap Petronas yang dijangkakan selesai 17 Mei ini.

"Pihak Royalti sentiasa mengalu-alukan segala sumbangan dan peranan semua pihak yang dapat membantu ke arah memudahkan dan mempercepatkan proses pembayaran royalti tersebut," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pendekatan berlembut yang telah diambil Kerajaan Kelantan disambut begitu baik Kerajaan Persekutuan adalah diyakini akan membuahkan hasilnya tidak lama lagi.

Malah, pihak Royalti sendiri tidak ambil langkah yang boleh mengganggu proses rundingan dan urusan yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.
Artikel Berkaitan:


"Dalam tempoh setahun selepas pembentukan kerajaan Malaysia Baharu, kami hanya berperanan memberikan maklumat tentang fakta tuntutan untuk tatapan seluruh rakyat Kelantan.

"Buat masa sekarang, kami amat berharap semua pihak tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengganggu proses rundingan atau tugasan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

"Kerajaan Persekutuan tidak akan rugi 1 sen pun dengan bayaran royalti kepada Kelantan. Kesemua bayaran adalah dari sumber kewangan Petronas yang mendapat untung dari hasil bumi negeri-negeri pengeluar minyak termasuk Kelantan.

"Malah, Kerajaan Persekutuan akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan diyakini dalam melaksanakan segala janji serta sebuah kerajaan yang boleh dipercayai apabila menghormati perjanjian dan peruntukan undang-undang.

"Dan Kerajaan Kelantan pastinya akan menggunakan sumber kewangan hasil royalti ini sebaik mungkin demi kepentingan rakyat," katanya.