JDT kukuh penguasaan di persada Liga Super

Pemain Pahang, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) merampas bola dari pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, malam ini.- Foto Bernama
Pemain Pahang, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) merampas bola dari pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, malam ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukannya di persada Liga Super dalam misi mempertahankan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan pencabar terdekat, Pahang 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kejayaan mengekalkan aksi tanpa kalah dengan rekod 10 kemenangan daripada 13 perlawanan itu menyaksikan skuad ‘Harimau Selatan’ mengumpul 33 mata untuk selesa menerajui takhta liga dengan kelebihan lapan mata, meninggalkan Pahang di kedudukan kedua.

Pada aksi penuh dramatik itu, keputusan Ketua Jurulatih Benjamin Mora membawa masuk pemain muda sensasi kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada babak kedua membuahkan hasil apabila beliau muncul sebagai arkitek kejayaan JDT menerusi satu jaringan dan perancang kepada gol pertama tuan rumah.

Kapten pasukan, Harris Harun meledak gol pembukaan pada minit ke-69 selepas menerima lorongan cantik Muhammad Akhyar yang tidak dikawal hasil serangan balas menarik yang berjaya memerangkap barisan pertahanan Pahang.

Bekas penyerang Kedah itu kemudian menceriakan ribuan penyokong tuan rumah menerusi gol pada masa kecederaan babak kedua sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat JDT.

Pada masa sama, PJ City FC mencatat kemenangan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 sebelum menundukkan Terengganu FC 5-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Lima gol PJ City FC dihasilkan pada babak kedua perlawanan, masing-masing dijaringkan Elizeu Aralijo pada minit ke-49, Pedro Henrique (ke-57 dan 80’), Washington Brandao (ke-57) dan Mohamad Zamri Ramli pada minit ke-77.

Terdahulu, tiga gol pasukan tuan rumah pada babak pertama terhasil menerusi Kipre Tchetche seawal minit ke-10 diikuti Mohamad Nabil Ahmad Latpi (ke-17) dan Mohamad Ashari Samsudin, selang dua minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pula menyaksikan Kuala Lumpur mencatat kemenangan ketiga musim ini selepas mengatasi PKNS FC 2-1.

Dua jaringan, masing-masing menerusi Kapten Indra Putra Mahayuddin dan Mohamad Azmi Muslim pada minit ke-27 dan ke-56 berjaya menafikan gol pembukaan pasukan pelawat yang dijaringkan pemain import Romel Morales seawal minit keempat.- Bernama