Ancaman Daesh bukan main-main!

A
A

BILA sebut kumpulan militan Daesh, jangan main-main kerana kelompok ini kejam dan ia mempunyai pengaruh yang besar kepada umat Islam.

Malahan aliran ini tersebar di seluruh pelosok dunia.

Malaysia tidak terkecuali apabila empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat kumpulan pengganas antara 5 hingga 7 Mei lalu menjadikan ia kes Daesh pertama dilaporkan berlaku tahun ini.

Mereka merancang melakukan pembunuhan terhadap individu-individu berprofil tinggi, serangan ke rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang pada minggu pertama Ramadan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua suspek terbabit merancang melancarkan operasi pembunuhan bagi menuntut keadilan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya tahun lepas.

Selain faktor Muhammad Adib, adakah faktor lain yang menyebabkan penyokong Daesh melakukan tindakan seumpama ini?

Ini adalah cabaran baharu untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas beberapa insiden yang didakwa mengancam kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang berlaku di negara ini.

Contoh terdekat, penahanan Muhammad Zamri Vinoth yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik baru-baru ini atas dakwaan menghina agama lain.

Ekoran tangkapan itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan realiti politik pada masa ini yang membiarkan umat Islam dibuli menyebabkan rakyat akur bahawa agama Islam berada dalam keadaan tidak begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Luahan kekecewaan Mohd Asri itu susulan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu-individu di dalam kerajaan yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum namun mereka hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

Pendedahan Penyelidik Keganasan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Kamarulnizam Abdullah pada Februari lalu yang meramalkan Asia Tenggara mungkin menjadi hab seterusnya kumpulan Daesh yang tidak boleh dipandang enteng.

Bagaimanapun, kecekapan polis menggagalkan beberapa cubaan keganasan perlu dipuji namun usaha mencari formula dan pelan tindakan bagi membasmi ancaman Daesh janganlah terlalu lama.