Organisasi komersial dalam radar SPRM

Gambar hiasan. (Gambar kecil:Penulis, Junhairi Alyasa)
Gambar hiasan. (Gambar kecil:Penulis, Junhairi Alyasa)
A
A
A

PADA 1 Mac 2013, seorang pegawai Alcatel Telecommunications Networks (M) Sdn Bhd didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan didenda RM125,000 kerana kesalahan memberi rasuah RM25,000 kepada pegawai Telekom Malaysia sekitar tahun 2006.

Walau berita ini kecil dan tidak mendapat perhatian umum namun sebenarnya sebahagian daripada kes rasuah melibatkan organisasi komersial antarabangsa dengan nilai yang jauh lebih besar.

Kes ini sebenarnya bermula apabila Alcatel-Lucent iaitu syarikat telekomunikasi antarabangsa berpangkalan di Perancis yang didakwa melakukan dua kesalahan rasuah di bawah Foreign Corrupt Practices Act 1977.

Pembayaran rasuah dibuat kepada para pegawai kerajaan di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia bertujuan mendapatkan dan mengekalkan kontrak kerajaan bernilai jutaan Dollar.

Akhirnya pada 28 Disember 2010, Alcatel-Lucent bersetuju membayar penalti lebih AS$137 juta untuk menyelesaikan pendakwaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Sementara bagi kesalahan rasuah yang berlaku di Malaysia itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula setelah Alcatel AS membuat pengakuan bahawa Alcatel Malaysia turut membuat bayaran rasuah kepada pegawai Telekom Malaysia.

Menurut mereka, tidak kurang 17 kali pembayaran dibuat antara 2004 dan 2006 bertujuan untuk mendapatkan maklumat sulit mengenai tender-tender TM.

Pada November 2018, tiga bekas pegawai Rolls-Royce dan seorang pekerja syarikat perunding yang bertindak bagi pihak Rolls-Royce mengaku bersalah atas dakwaan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Turut didakwa adalah ‘orang tengah’ yang dilantik Rolls-Royce.

Merujuk kes yang berlainan, syarikat konglomerat Jerman, Siemens AG iaitu syarikat kejuruteraan elektronik terbesar di Eropah dan berpangkalan di Munich dan Berlin berhadapan dakwaan rasuah dan penyelewengan di 20 buah negara.

Kontroversi rasuah melibatkan Siemens bermula lewat tahun 2002 sehingga 2006.

Kejadian ini sebenarnya menceritakan bahawa terdapat peruntukan undang-undang di luar negara yang membolehkan sesebuah organisasi komersial dikenakan tindakan sekiranya mereka terlibat rasuah.

Berbeza di Malaysia, peruntukan undang-undang sedia ada hanya tertumpu kepada individu yang memberi dan menerima rasuah sahaja tetapi tidak kepada organisasi komersial.

Sebagai contoh mudah, seorang pemandu lori yang didapati memberikan wang untuk merasuah anggota penguat kuasa yang terlibat dalam kesalahan jalan raya akan didakwa kerana memberi rasuah tetapi sebenarnya wang itu telah diberikan oleh majikan atau 'bos' mereka bagi tujuan mengelak tindakan undang-undang, dalam hal ini saman trafik, dikenakan. Ini sudah tentu tidak adil.

Bagaimanapun, dalam satu laporan akhbar baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki mendedahkan, SPRM bakal menguatkuasakan peruntukan undang-undang baharu iaitu seksyen 17A Akta SPRM 2009 mulai Jun 2020.

Peruntukan undang-undang baharu itu digubal bagi melaksanakan obligasi dan memenuhi tanggungjawab antarabangsa Malaysia di bawah Artikel 26 United Nation Convention Against Corruption (UNCAC) yang merujuk kepada Liability of Legal Person.

Realitinya, berdasarkan siasatan SPRM, dalam konteks organisasi komersial, didapati individu berkenaan memberikan rasuah bagi tujuan untuk mendapat projek atau faedah tertentu kepada syarikat mereka, malah dalam banyak keadaan, bukan sahaja perbuatan itu melibatkan pengurusan tertinggi syarikat tetapi pengurusan tertinggi syarikat.

Disebabkan itulah, seksyen 17A ini digubal bagi membolehkan syarikat terlibat dengan rasuah dikenakan tindakan sewajarnya.

Hukuman yang diperuntukkan jika sesebuah organisasi komersial didapati bersalah adalah denda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, yang mana lebih tinggi atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Azam berkata, organisasi komersial perlu memastikan bahawa terdapatnya tatacara mencukupi dan efektif dalam organisasi mereka bagi menghalang dan mencegah perlakuan rasuah daripada berlaku dalam organisasi mereka.

Justeru itu, kita semua berharap segala usaha dilakukan SPRM ini akan dapat memastikan organisasi komersial bersih dan bebas daripada gejala rasuah.

Selain itu, tindakan ini perlu mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan negara bebas daripada sebarang perbuatan rasuah.