AS rancang hantar 120,000 tentera ke Timur Tengah

Helikopter Sea Hawk bersedia untuk mendarat di dek penerbangan kapal USS Abraham Lincoln di Laut Adriatik yang memisahkan Semenanjung Itali dan Balkan pada awal bulan lalu.
Helikopter Sea Hawk bersedia untuk mendarat di dek penerbangan kapal USS Abraham Lincoln di Laut Adriatik yang memisahkan Semenanjung Itali dan Balkan pada awal bulan lalu.
A
A
A

WASHINGTON - Rumah Putih dilaporkan sedang mengkaji rancangan untuk menghantar sehingga 120,000 tentera ke Timur Tengah yang mendekati skala pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pada 2003.

Kelmarin, New York Times memetik kenyataan pegawai keselamatan melaporkan, pelan itu akan diteruskan jika Iran melancarkan serangan ke atas angkatan tentera AS atau meningkatkan program senjata nuklear mereka.

“Rancangan itu tidak menyatakan sama ada tentera AS akan menyerang Teheran atau tidak,” lapor akhbar itu lagi.

Sebelum ini, kira-kira 130,600 tentera dikerah ketika pencerobohan AS di Iraq.

Rangka tindakan itu adalah versi terbaharu operasi perang siber digelar ‘Nitro Zeus’ yang akan menyasarkan grid tenaga dan tentera Iran.

Beberapa pegawai tentera mendakwa pelan itu telah dikemaskini sejak beberapa tahun lalu dan perubahan terkini dipengaruhi Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton.

Pelan itu didedahkan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan Iran.

Minggu lalu, Presiden Iran, Hassan Rouhani menegaskan akan menggantung dua komitmen dipersetujui dengan kuasa dunia di bawah perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Artikel Berkaitan:

Ia selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian pada 2015 itu selain mengenakan sekatan tambahan ke atas Teheran yang memberi impak besar kepada ekonomi negara itu.

Awal Mei lalu, pegawai pertahanan di Washington juga menyebut tentang petunjuk ancaman Teheran yang boleh dipercayai dan maklumat risikan Israel tentang serangan berpotensi ke atas kepentingan AS yang mencetuskan ‘perang retorik’ Bolton ke atas Iran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, AS bertindak menempatkan beberapa aset ketenteraan mereka termasuk pesawat pengebom kononnya untuk menghantar mesej jelas kepada Iran.

EU beri amaran

Kesatuan Eropah (EU) menggesa Iran dan AS mengelakkan sebarang peningkatan konflik ketenteraan selepas Washington terus memberi tekanan kepada Teheran.

Ketua Dasar Luar, Federica Mogherini membuat gesaan itu selepas sidang kemuncak bersama para menteri anggota blok terbabit di Brussels kelmarin yang turut disertai Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang menjadi antara individu memberi tekanan maksimum kepada Iran.

“Pompeo mendengar dengan jelas daripada kami semua. Seperti yang anda sedia maklum, EU sentiasa menggalakkan dialog dan penglibatan usaha diplomatik. Ini adalah komitmen kami dan apa yang kami amalkan termasuk bersama Iran,” tegasnya. - Agensi