Menteri Pendidikan selesai 18 masalah - NUTP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 isu berkenaan masalah di bidang pendidikan termasuk beban tugas guru yang dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah mendapat komitmen penuh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, serta sudah diselesaikan.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, keprihatinan dan tindakan proaktif Menteri Pendidikan itu antaranya berjaya menangani masalah beban tugas guru, pertukaran guru duka lara, isu pentaksiran berasaskan sekolah, kekurangan guru ganti dan isu penggunaan gajet di sekolah.

"Semasa perjumpaan kepimpinan NUTP dengan menteri pada 9 Julai tahun lepas, sebanyak 41 isu dan cadangan penyelesaian masalah pendidikan telah diutarakan untuk perhatian dan tindakan beliau. NUTP amat berpuas hati dengan sikap terbuka Menteri Pendidikan yang bersungguh-sungguh ingin membantu.

“(Ia termasuk) Isu beban tugas guru, isu sekolah daif, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan menggubal Prosedur Operasi Standard keselamatan dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah bagi menghadiri program rasmi kementerian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya daripada keseluruhan isu berbangkit itu, 11 isu termasuk Dasar TVET Negara dan pendidikan khas masih dalam proses rundingan manakala 12 lagi isu termasuk kekurangan guru bahasa Inggeris masih belum diambil tindakan.

Katanya, pihak kementerian juga telah menetapkan agar penyelesaian bagi isu-isu itu dibuat secara berfokus dan berperingkat melibatkan pelaksanaan jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan bagi pelaksanaan jangka masa panjang. - Bernama

Artikel Berkaitan: