29 warga asing kena cekup dalam Ops Bersepadu

Sebahagian warga asing ditahan dan diperiksa Jabatan Imigresen Negeri Perak dalam serbuan Ops Bersepadu dijalankan di sekitar Ipoh, malam semalam.
Sebahagian warga asing ditahan dan diperiksa Jabatan Imigresen Negeri Perak dalam serbuan Ops Bersepadu dijalankan di sekitar Ipoh, malam semalam.
A
A
A

IPOH - Seramai 29 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak melalui Ops Bersepadu dijalankan agensi itu di beberapa lokasi sekitar Ipoh di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, dalam operasi dijalankan sekitar jam 8 malam dan berakhir 4 pagi, sebanyak enam lokasi diserbu iaitu sebuah rumah kongsi tapak pembinaan, sebuah stesen bas, dua pusat refleksologi dan dua kedai makan tom yam.

Menurutnya, operasi dijalankan itu membabitkan 20 pegawai Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

"Seramai 72 orang diperiksa terdiri daripada pelbagai warga asing dan daripada jumlah itu seramai 29 ditahan.

"Mereka ditahan terdiri 11 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga Indonesia, empat wanita dan seorang lelaki warga Thailand, dua wanita warga China dan seorang lelaki warga India.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun," katanya kepada media di sini hari ini.

Kamalludin berkata, maklumat awal diterima pihaknya mendapati operasi dijalankan di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan di Mukim Ulu Kinta di sini disyaki menggaji warga asing tanpa pas sah.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, terdapat warga asing cuba melarikan diri ke kawasan perumahan dan hutan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Namun ketangkasan pegawai operasi kami yang mengepung kawasan pembinaan itu berjaya menghalang cuba warga asing berkenaan untuk melarikan diri.

"Dalam situasi di salah sebuah kedai tomyam pula, seorang pekerja premis itu mengalami kecederaan di kepala ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap," katanya.

Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati kesemua warga asing ditahan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap," katanya.