Wibawa Parlimen dikembalikan

A
A

Mohamad Ariff kesal kadangkala Dewan Rakyat menjadi seperti pasar borong

SATU daripada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah mereformasi Parlimen supaya dapat menjadi sebuah badan legislatif yang bukan sahaja kuat dan matang malah mempunyai mekanisme semak dan imbang terhadap segala usaha pentadbiran kerajaan.

Wartawan Sinar Harian,Jannatul Firdaus menemubual Yang Dipertua Dewan Rakyat, DATUK MOHAMAD ARIFF YUSOF baru-baru ini bagi mengupas isu tersebut.

Apakah pembaharuan sistem Parlimen yang telah diperkenalkan sepanjang setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH)?

MOHAMAD ARIFF: Wibawa Dewan Rakyat sebagai institusi penting dalam negara akan dikembalikan sekali gus memadam persepsi bahawa Parlimen hanya sekadar rubber stamp yang berfungsi meluluskan rang undang-undang semata-mata.

Sepanjang setahun ini, Parlimen telah merangka empat tonggak utama bagi mengembalikan wibawa institusi tersebut bagi memenuhi janji 16 manifesto PH.

Antara empat tonggak yang telah dilaksanakan adalah menginstitusikan atau memantapkan sistem jawatankuasa di Parlimen selaras dengan perkembangan di Parlimen, melakukan beberapa perubahan teknikal menjadikan Parlimen Malaysia lebih cekap dan efisien. Selain itu, kami telah cuba dengan gigih untuk merakyatkan Parlimen Malaysia dan mewujudkan budaya Parlimen yang matang.

Dalam tempoh setahun ini, empat jawatankuasa pilihan khas telah diwujudkan dan bersidang bagi mengawal selia peranan eksekutif dalam usaha mencari kebenaran dan menjaga kepentingan negara merentasi politik kepartian. Ertinya wakil-wakil parti sama ada kerajaan mahupun pembangkang menganggotai jawatankuasa tersebut.

Empat jawatankuasa yang sudah bergerak ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Jawatankuasa Pilihan Khas Kerjasama Antara Negeri-Negeri Persekutuan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender manakala satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang masih belum mula kerana kita belum melantik pengerusi.

Boleh Datuk jelaskan fungsi Parlimen yang ingin diterjemahkan oleh PH?

MOHAMAD ARIFF: Peranan Parlimen untuk gubal undang-undang hanyalah satu fungsi, terdapat fungsi-fungsi lain antaranya Parlimen mempunyai peranan untuk mengawal selia eksekutif. Oleh itu, adalah penting untuk fungsi ini kita wujudkan sebuah sistem jawatankuasa yang mantap.

Fungsi kawal selia ini tidak mungkin dapat diterjemahkan dengan hanya sesi perbahasan di Dewan Rakyat dan sebab itu sistem jawatankuasa-jawatankuasa ini diwujudkan supaya ia dapat menjalankan fungsi dengan lebih berkesan.

Gerak kerja dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang melakukan tinjauan yang teliti dan mendalam kemudian membentangkan laporan kepada Parlimen. Ia akan dijadikan contoh yang akan diguna pakai oleh jawatankuasa lain sebagai garis panduan.

Saya menjangka beberapa buah lagi jawatankuasa lain akan diwujudkan. Ini merupakan perubahan yang amat penting untuk memartabatkan lagi Parlimen Malaysia. Semua jawatankuasa ini kita rencanakan sebagai jawatankuasa yang merentas parti, semua parti akan mempunyai tempat dalam jawatankuasa melalui wakil-wakil mereka.

DATUK MOHAMAD ARIFF YUSOF
DATUK MOHAMAD ARIFF YUSOF

Perbincangan yang berlaku dalam jawatankuasa ini kita harapkan tidak melibatkan hal-hal kepartian saja sebaliknya sebagai usaha untuk menggali kebenaran dan mempelopori kepentingan negara yang dilaporkan terus ke Parlimen. Meskipun jawatankuasa-jawatankuasa ini berfungsi sebagai badan kawal selia, tetapi saya yakin tidak akan berlaku percanggahan dengan agensi-agensi kerajaan sedia ada.

Sistem pengasingan kuasa dan timbal balas penting yakni Parlimen wujud untuk mengawal selia eksekutif agar tidak berulang lagi episod salah guna kuasa seperti yang terjadi dalam pentadbiran terdahulu.

Jadi saya fikir kalau kita ada jawatankuasa Parlimen yang mantap, tidak akan berlaku skandal-skandal dan penyelewengan. Kita akan dapat meneliti lebih awal dan perkara buruk mungkin tidak akan berlaku kerana ia dikawal dengan lebih rapi. Kalau berlaku pun, misalnya, ia boleh ditangani dengan lebih cepat.

Dalam erti kata lain, Parlimen menjalankan fungsi memberi sokongan kepada tindakan kerajaan dan membuat teguran serta menjalankan siasatan sekiranya perlu, bukannya menghalang usaha-usaha kerajaan.Satu daripada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah mereformasi Parlimen supaya dapat menjadi sebuah badan legislatif yang bukan sahaja kuat dan matang malah mempunyai mekanisme semak dan imbang terhadap segala usaha pentadbiran kerajaan.

Selain itu, antara pembaharuan dilakukan sepanjang setahun saya mengemudi Parlimen adalah melantik pembangkang sebagai Pengerusi PAC, mewujudkan sesi perbahasan sejajar dengan isu semasa yang mendesak seperti pencemaran Sungai Kim Kim, serangan pengganas di Christchurch, New Zealand dan peperangan di Palestin. Perkara ini bertujuan membuka ruang seluas-luasnya untuk membahaskan isu yang mustahak.

Bila agaknya prosiding PAC akan disiarkan secara langsung seperti yang pernah diusulkan sebelum ini?

MOHAMAD ARIFF: Mengenai usul untuk menyiarkan prosiding PAC secara langsung, perkara itu sedang diusahakan kerana ia bukan mudah untuk dilakukan secara terbuka, ia memerlukan formula yang betul sebelum dilaksanakan.

Apabila prosiding disiarkan secara langsung ia mungkin mengundang rasa takut orang yang datang memberi keterangan.

Mungkin dia tidak selesa. Memang negara lain buat siaran langsung tetapi kita harus fikirkan kesesuaian budaya politik tempatan.

Apakah pandangan Datuk dengan sikap ahli Parlimen kita hari ini, adakah mereka sudah matang?

MOHAMAD ARIFF: Dalam usaha kerajaan merakyatkan Parlimen, saya akui kesal apabila pelawat tempatan, asing mahupun pelajar sekolah mengunjungi Parlimen ketika sesi Dewan Rakyat, sikap dan kekecohan antara wakil rakyat menjatuhkan imej Parlimen, malah ada ketikanya ia bagaikan pasar borong.

Sikap ahli-ahli Parlimen yang tidak matang memang satu masalah, bertengkar macam berada di pasar borong, mereka dilihat tidak dapat kawal keadaan dan emosi tapi saya anggap ini isu minoriti kerana bukan semua begitu, masih ramai yang patuh kepada peraturan dan waras. Secara peribadinya, saya harap situasi ini akan berkurangan, nak hapuskan memang mustahil. Ini tabiat manusia. Teguran saya ini bukan hanya kepada pembangkang, ahli Parlimen kerajaan juga ada yang bersikap sedemikian.

Cara kasar dan caci maki yang dibawa ke dalam Dewan Rakyat kerana mereka terbawa-bawa gaya dalam ceramah politik yang bercakap tanpa fakta dan tidak sepatutnya menjadi amalan dalam sesi perbahasan.

Kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Parlimen bertujuan mereformasikan Parlimen, adakah itu dilakukan atau masih mengikut acuan lama?

MOHAMAD ARIFF: Kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat sebagai Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus diharap berupaya mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 dalam usaha mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen. Akta itu penting kerana menjadi asas kepada agenda reformasi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menggariskan pengasingan kuasa antara Parlimen dan bidang kuasa lain.

Sebagai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, apakah pembaharuan yang Datuk boleh bawa dalam sistem Parlimen di Malaysia hari ini?

MOHAMAD ARIFF: Pengalaman sebagai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, memang saya terapkan meskipun acaranya berbeza tetapi ilmu sebagai hakim memberi sedikit pertolongan untuk mengendalikan Parlimen supaya lebih adil untuk membuka peluang kepada semua menyatakan pandangan.

Misalnya dalam kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd, saya telah keluarkan petua agar ia tidak dibahaskan kerana perbicaraan sedang berlangsung agar tidak menimbulkan prejudis dan memberi keadilan kepada semua yang terlibat tetapi sekadar bertanya untuk dapatkan maklumat ia dibenarkan.

Bagi kes yang belum dibicarakan atau baru dibuat laporan polis ia boleh dibangkitkan di Parlimen. Contohnya, kes Jho Low ia boleh dibahaskan kerana belum masuk ke mahkamah lagi.