Lebih separuh sempadan Perlis-Thailand tidak berpagar

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian diberitahu bahawa sempadan Perlis dengan Thailand keseluruhannya adalah 106 km, dan lebih separuh daripadanya tidak berpagar.

Saksi ke-25 RCI, Safrul Faiz Abdul Satar yang juga pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis dari 2010 hingga September 2018 berkata, 50 km sempadan Perlis-Thailand adalah berpagar sementara 56km lagi tidak berpagar.

"Sempadan Perlis-Thailand yang tidak berpagar diklasifikasikan sebagai sukar ditembus, jauh dari penempatan penduduk dan terletak dalam kawasan hutan simpan kekal,” katanya.

Safrul Faiz berkata, beliau kali pertama mendapat maklumat mengenai kem transit migran di Wang Kelian dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perlis pada Januari 2015.

"Saya sangat terkejut dengan maklumat itu kerana kawasan terlibat merupakan laluan sukar yang jarang digunakan migran untuk masuk ke Malaysia. Biasanya migran akan menggunakan laluan landai untuk masuk ke Perlis atau Kedah dari negara jiran,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama sempadan Malaysia-Thailand, Safrul Faiz berkata, kedua-dua negara menandatangani kerjasama pada 1977 untuk menangani ancaman komunis.

Pada Mei 2000 pula, Malaysia dan Thailand menandatangani semula perjanjian baharu yang dikenali sebagai Perjanjian Am Malaysia-Thailand.

Ketika diajukan soalan pernahkah Malaysia dan Thailand berbincang secara khusus mengenai isu sempadan, wakil media dan orang awam diminta keluar bagi membolehkan prosiding RCI dijalankan secara tertutup kerana ia melibatkan maklumat sensitif yang dikategorikan sebagai rahsia dan rahsia besar.

Artikel Berkaitan:

Selepas sejam prosiding berjalan secara tertutup, wakil media dibenarkan masuk dan pada masa itu saksi ke-26 Leftenan Kolonel Zamri Hamzah dari MKN sedang memberikan keterangan.

Zamri berkata, tembok dan pagar sempadan Perlis-Thailand boleh bocor apabila berlaku sabotaj dan akibat faktor alam seperti pokok tumbang.

Tembok dan pagar sempadan yang bocor perlu diperbaiki dari semasa ke semasa, katanya.

RCI bersambung esok. - Bernama