13 sekolah tahfiz tak tepati syarat diarah tutup

Datuk Haris Kasim
Datuk Haris Kasim
A
A
A

SEKINCHAN - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengarahkan 13 sekolah tahfiz yang tidak menepati standard pembinaan dan kokurikulum ditetapkan ditutup di sekitar Selangor.

Tindakan ini diambil bagi memastikan semua sekolah tahfiz mematuhi standard pembinaan dan kokurikulum yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, semua tahfiz tersebut adalah sebahagian daripada 362 sekolah tahfiz swasta dan persendirian yang berdaftar di bawah JAIS.

“Sejumlah 13 pusat tahfiz diarah menghentikan operasinya dalam memastikan semua sekolah tahfiz mematuhi standard pembinaan dan kokurikulum yang telah ditetapkan demi kecemerlangan pelajar,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor dan penyampaian sumbangan hari raya serta perasmian Masjid Nurul Falah, Kampung Sungai Leman di sini semalam.

Katanya, seramai 225 pelajar tahfiz mengikuti Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Huffaz Selangor yang bermula Mac lalu membabitkan 52 guru yang akan mengajar lapan mata pelajaran bagi SPM.

“Program ini berjalan di tujuh lokasi di enam daerah seluruh Selangor, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.94 juta kepada JAIS bagi menjayakan program itu.

“Objektif utama program ini adalah sebagai persediaan kepada pelajar-pelajar maahad tahfiz swasta mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas tambahan dan membolehkan mereka mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya giat menambah blok bangunan baru di tiga Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Istana Bandar, Bagan Lalang dan Bagan Terap.

Artikel Berkaitan:

“JAIS juga sedang membangunkan tiga sekolah baru di pelbagai lokasi Sekolah Agama Rakyat (SRA) Denai Alam, SRA Country Home dan MITS Kampung Pandan bagi menampung permintaan kemasukan pelajar baru ke sekolah aliran agama,” katanya.

Terdahulu, 18 Mac lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan semua sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Baginda bertitah, pada masa ini, ada sejumlah 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan JAIS.