Beruang Matahari terlepas masuk perangkap kali kedua

Beruang Matahari yang terlepas sebelum ini masuk perangkap kali kedua di Kampung Jambu Bongkok, Marang.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor beruang matahari atau dikenali beruang anjing yang terlepas dari perangkap sangkar besi dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Kampung Jambu Bongkok, Marang berjaya ditangkap semula pada Sabtu lalu.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, sebelum ini pihaknya memasang perangkap di lokasi susulan aduan penduduk kampung yang bimbang dengan kemunculan haiwan itu yang dipercayai masuk ke kawasan penempatan penduduk pada April lalu.

"Selepas seminggu memasang perangkap, pada hari kejadian iaitu 1 Mei, kami menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan beruang berkenaan sudah masuk ke dalam perangkap.

"Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke lokasi, sekali lagi kami menerima panggilan memberitahu beruang itu berjaya melepaskan diri.

"Kami yakin mungkin kerana ketakutan melihat orang ramai jadi haiwan ini bertindak agresif apabila menggoncang perangkap selain menggigit dan menarik besi perangkap sehingga tercabut satu demi satu," katanya ketika ditemui hari ini.

Abdul Malek berkata, susulan itu, pihaknya membuat pemasangan semula sangkar besi di lokasi sama pada Sabtu lalu.

"Kami pasang sangkar pada sebelah petang dan beruang itu masuk perangkap pada malam hari sama.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badannya, kami ternampak ada luka dipercayai kesan seminggu lalu dan yakin beruang sama yang terlepas sebelum ini.

"Setelah diberi rawatan dan pemeriksaan kesihatan mengesahkan haiwan itu berada dalam keadaan baik, kita telah melepaskannya ke Taman Negara, di sini, semalam," katanya.

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan penduduk di Kampung Jambu Bongkok, Marang, ketakutan selepas seekor beruang matahari atau beruang anjing yang terperangkap dalam sangkar besi dipasang PERHILITAN Terengganu berjaya melepaskan diri.

Sebelum ini, haiwan seberat 100kg itu masuk ke dalam perangkap besi dipasang menggunakan burung merpati sebagai umpan pada jam 5 petang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia