Guru pembina bangsa

Kegigihan guru tidak terhenti seperti hentinya waktu persekolahan ketika loceng berbunyi.
Kegigihan guru tidak terhenti seperti hentinya waktu persekolahan ketika loceng berbunyi.
A
A
A

“Cikgu, kena selang sebaris ke?”

“Cikgu, kena lukis ke?”

“Cikgu, saya tak faham”

Itu hanyalah sebahagian kecil kerenah yang pasti akan dihadapi oleh insan yang bergelar guru. Dari sekecil-kecil pertanyaan sehingga sebesar-besar pertanyaan, guru tetap melayani segalanya dengan penuh kesabaran kerana jauh di sudut hati mereka, terselit sebuah impian.

Impian murni seorang guru pastinya mahu melihat anak didik mereka menjalani kehidupan yang berjaya pada masa hadapan dan seorang yang berguna untuk masyarakat.

Sebagai guru, kadangkala mereka tidak mengharapkan nama mereka disebut atau diuar-uarkan ketika pelajar mengungkapkan ucapan kejayaan mereka namun cukup sekadar mereka mengingatinya dalam setiap selitan doa.

Merujuk kembali artikel yang tersiar dalam artikel berita tempatan, “Guru Malaysia antara paling berdedikasi di dunia” (22 November 2018) menurut Bancian Pendidikan Global yang dilakukan oleh kumpulan Pendidikan daripada Penilaian Antarabangsa Universiti Cambridge itu merupakan satu perkara yang sangat mengagumkan terhadap kerjaya yang mulia ini.

Sifat dedikasi dan kesungguhan itu tidak dapat dilaksanakan dengan keikhlasan dan penuh komitmen melainkan kerana rasa cinta mereka terhadap kerjaya seorang guru. Pengorbanan mereka mengerah tenaga, usaha juga kadang-kadang wang ringgit demi melihat sebuah kejayaan serta senyuman yang akan terukir di wajah pelajar tidak mampu diganti.

Artikel Berkaitan:

Bersempena tema Sambutan Hari Guru 2019, ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ membawa maksud yang besar rentetan tugas guru yang semakin mencabar pada era kepesatan teknologi serta kedudukan guru yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai ragam pelajar yang memerlukan kesabaran dan rasional yang tinggi.

Kegigihan mereka tidak terhenti seperti hentinya waktu persekolahan ketika loceng berbunyi, bahkan ada guru yang mahu menyediakan kelas tambahan buat para pelajar yang memerlukan perhatian dan bimbingan lebih dalam pelajaran kerana tahap pelajar yang berbeza.

Namun, beredarnya waktu, bertambahnya detik masa, guru semakin bertambah bebannya, orang semakin hilang hormatnya terhadap kerjaya mulia ini. Guru kadangkala dianggap sebagai penjaga pelajar seperti pusat nurseri menjaga kebajikan, ditambah lagi dengan mesej-mesej di aplikasi WhatsApp yang dihiasi dengan ragam remeh-temeh yang tidak termasuk dalam skop kerja seorang guru.

Awal tahun ini, inisiatif yang dikeluarkan pihak kerajaan dalam meringankan beban guru sedikit sebanyak melegakan mereka apabila inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan beban guru sebanyak 25 peratus.

Namun, di sebalik kepahitan yang mereka lalui, kerjaya yang dilakukan dengan penuh cinta tidak akan berubah hati sama sekali. Para pendidik kekal menjadi pembimbing buat pelajar yang memerlukan bimbingan, kerana di fikiran mereka cuma satu, pelajar adalah permata dan masa hadapan negara.

Seperti bunga yang sentiasa perlu disiram untuk melihat ia tumbuh dengan mekar, begitu juga didikan yang perlu dituai pada pelajar harapan bangsa ini. Diumpamakan seperti obor, lilin dan cahaya, guru merupakan satu peranan penting dalam membentuk ketamadunan negara pada masa hadapan.

* Penulis ialah penuntut tahun tiga Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM