Pas larang ahli bincang isu parti di media

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas dengan tegas mengeluarkan larangan buat ahli-ahlinya dari membawa, membincangkan dan membahaskan sebarang isu melibatkan urusan parti di dalam semua bentuk media.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata perintah larangan tersebut adalah berkuat kuasa serta merta.

"Ahli-ahli Pas dilarang sama sekali membawa, membincangkan dan membahaskan sebarang isu melibatkan urusan parti sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik, termasuklah semua media sosial dan sebarang bentuk siaran luar yang bukan daripada saluran parti.

"Sebarang keengkaran terhadap perintah ini membolehkan seseorang ahli dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah menjadi kesalahan tatatertib sekiranya seseorang ahli melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

"Menjadi kesalahan sekiranya ahli tidak taat dan patuh kepada arahan parti yang berdasarkan kepada Perlembagaan serta aturan dan peraturannya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi nafi restu menantu dedah 'kartel dedak'

Pada masa sama, Pas turut menasihatkan ahli-ahlinya agar sebarang pandangan, pendapat, cadangan mahupun kritikan mesti disalurkan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara di samping pada masa yang sama mengawal serta memelihara kerahsiaan organisasi," katanya.

Sebelum ini Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang juga merupakan menantu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan isu berkaitan kartel dedak dalam parti Islam itu melalui entri Facebook miliknya.

Selepas menyenaraikan lima nama singkatan ahli kartel dedak, Zaharuddin turut menjelaskan tindakan pendedahan itu dibuat bagi mengelakkan perbuatan mendedak ini terpalit kepada presidennya, Abdul Hadi Awang, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat.