Kartel dedak: Zaharudin sedia hadapi Jawatankuasa Disiplin Pas

Zaharudin Muhammad
Zaharudin Muhammad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad bersedia sekiranya beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Pas berhubung dakwaannya berkenaan 'kartel dedak' dalam parti itu.

Menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebelum ini mendedahkan terdapat lima pemimpin dalam parti itu yang terlibat dalam kumpulan ‘kartel dedak’ berkenaan.

Rentetan pendedahannya itu, Pas melarang semua ahlinya dari membawa, membincangkan dan membahaskan sebarang isu melibatkan urusan parti di dalam semua bentuk media, sama ada media cetak mahupun media elektronik, termasuklah semua media sosial dan sebarang bentuk siaran luar yang bukan daripada saluran parti.

Ironinya larangan berkenaan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan selang beberapa hari selepas pendedahan yang dibuat Zaharudin.

“Alhamdulillah jika Jawatankuasa Disiplin Pas mula bersidang isu ini. Saya dah tunggu peluang ini cukup lama,” tulis Zaharudin di Facebooknya hari ini.

Ketika menjelaskan sebab beliau berbuat demikian, Zaharudin berkata pendedahan tersebut dianggap langkah wajar bagi mengelakkan perbuatan mendedak ini terpalit kepada Abdul Hadi, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat.

Abdul Hadi kemudiannya menafikan bahawa beliau merestui pendedahan yang dibuat oleh menantunya itu.

Beliau menjelaskan, pendedahan ‘kartel dedak’ yang dibongkarkan itu ialah ‘filem lama' yang sengaja ditayangkan semula.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi nafi restu menantu dedah 'kartel dedak'