Stesen minyak sedia ruang beri pakaian percuma

Zulkifly (kanan) melihat beberapa orang yang sedang melihat pakaian yang diletakkan di ruang depan stesen minyak Shell miliknya.
Zulkifly (kanan) melihat beberapa orang yang sedang melihat pakaian yang diletakkan di ruang depan stesen minyak Shell miliknya.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Stesen Minyak Shell Jalan Mohd Zin di Batu Berendam di sini memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia dengan memberi pakaian terpakai percuma.

Pengusahanya, Zulkifly Jantan, 55, berkata, program yang pernah diadakan sebelum ini adalah inisiatif pihaknya berkongsi rezeki dengan insan lain melalui pemberian pakaian percuma yang boleh diambil sesiapa sahaja.

Menurutnya, mereka yang datang ke stesen miliknya boleh memilih pakaian mereka sendiri tanpa ada had dengan pelbagai jenis pilihan fabrik dan ada juga berjenama termasuk pakaian dewasa dan juga baju kanak-kanak.

"Kebiasaanya kita akan mula sangkut pakaian di ruang hadapan stesen bermula satu Ramadan lalu hinggalah ruang berkenaan kosong.

"Saya bermula dengan baju saya sendiri dan pakaian ahli keluarga yang lain dan melihat sambutan menggalakkan, kami teruskan pada tahun ini sebagai salah satu usaha untuk berkongsi rezeki dengan orang lain terutama mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Zulkifly melihat pakaian yang diberikan oleh Md Yani (kanan) di stesen minyak itu.
Zulkifly melihat pakaian yang diberikan oleh Md Yani (kanan) di stesen minyak itu.

Tambahnya, beliau turut mengalu-alukan individu yang mahu menyumbang pakaian mereka dengan membawanya ke stesen minyak tersebut selain mengharapkan pakaian diberikan itu masih elok dan boleh dipakai lagi.

"Selain projek percuma ini, kita juga memberikan pelanggan beragama Islam kit berbuka percuma berisi air kotak dan kurma bermula jam 6.30 petang hingga 7.30 malam sepanjang Ramadan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi suri rumah, Intan Azwa Ismail, 49, berkata, dia sering mengisi minyak di stesen itu dan tertarik dengan insiatif pihak berkenaan menyediakan pakaian percuma selain tidak melepaskan peluang mengambil beberapa helai pakaian untuk anak-anak saudaranya.

"Memandangkan banyak pakaian yang masih elok jadi saya tak lepaskan peluang kongsi pakaian percuma dengan anak-anak buah," katanya yang mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang penyumbang, Mohd Yani Ali, 48, dari Bertam Hulu berkata, dia telah lama berhasrat untuk memberikan pakaian Allahyarham isterinya yang meninggal dunia sejak lima bulan lalu kepada mereka yang memerlukan, sebelum dimaklumkan oleh anak sulung mengenai program anjuran stesen minyak itu menerusi media sosial Facebook.

"Sebelum ini saya tercari-cari tempat sesuai untuk beri pakaian Allahyarham sebab banyak yang masih elok dan tak salah saya menyumbang lebih-lebih lagi di bulan Ramadan," katanya.