4 disyaki rancang serang rumah ibadat di Lembah Klang

A
A

1. 4 disyaki rancang serang rumah ibadat, pembunuhan ditahan

Empat lelaki, termasuk seorang warga tempatan, ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata semua suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh itu ditahan pasukan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam empat siri serbuan antara 5 hingga 7 Mei lalu di Terengganu dan Lembah Klang.

Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan polis mengesan satu sel ‘wolf pack’ disyaki merancang melancarkan operasi pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi dan serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, keempat-empat suspek yang ditahan mengaku menganggotai sel ‘wolf pack’ pengganas Daesh dan bersedia melancarkan serangan berskala besar di Malaysia pada minggu pertama Ramadan.

Mereka juga disyaki merancang melakukan operasi pembunuhan terhadap personaliti berprofil tinggi yang dituduh tidak memperjuangkan Islam.

2. Ketua Audit Negara tak pernah persoal kewujudan CMI

Tiada sebarang salah laku dalam penubuhan syarikat pelaburan kerajaan negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri Diperbadankan (CMI), bahkan Ketua Audit Negara sendiri tidak mempersoalkannya, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau berkata CMI ditubuhkan untuk mengurus aset dan hartanah milik kerajaan negeri dan semua keputusan dibuat oleh Exco Pulau Pinang.

Kata beliau,sejak tertubuhnya CMI pada 2009, Ketua Audit Negara tidak ada membuat sebarang komen mengenai CMI dan tiada apa-apa masalah sebagai syarikat pelaburan kerajaan negeri.

Antara sebab penubuhan CMI ialah kerajaan negeri mempunyai keterbatasan dalam hal-hal berkaitan tanah yang dikaitkan dengan Kanun Tanah Negara.

Tambah beliau, CMI menyimpan kira-kira wangnya sendiri dan semua perbelanjaan operasi dimasukkan ke dalam tabung kewangan negeri yang disatukan. Pihaknya tidak mahu mewujudkan akaun berasingan pada waktu itu bagi mengelak sebarang penyelewengan dan memastikan segala prosedur mempunyai akauntabiliti.

3.Gara-gara tak dibayar gaji...

Demi untuk pulang ke kampung, seorang lelaki warga Indonesia nekad menceroboh sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Kejadian jam 10 pagi itu disedari Pusat Operasi Keselamatan LTAPP yang ternampak kelibat seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam ruang tayar pesawat kargo, N361UPS Boeing 767.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain yang dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki tersebut.

Hasil soal siasat, suspek mengaku menceroboh pesawat tersebut kerana ingin pulang ke Medan, Indonesia.

Jafri berkata lelaki tersebut mendakwa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak dua bulan lalu menyebabkan dia tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampungnya.

4. Pesaka hantar 'singa kelaparan' ke Sukan SEA Filipina 2019

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bakal mempertaruhkan skuad yang dibarisi 90 peratus muka baharu dengan sasaran dua pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyifatkan barisan pesilat baharu yang akan membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu sebagai ‘singa kelaparan’ berdasarkan keyakinan dan semangat juang dimiliki mereka.

Beliau berkata, keputusan membariskan muka baharu itu tidak akan menjejaskan sasaran dua emas skuad silat negara yang dianggap realistik meskipun tanpa dua jaguh negara Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Tambah beliau, Skuad silat negara akan dibarisi 90 peratus muka baharu dengan sebahagian besar merupakan juara kebangsaan.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, persiapan rapi menghadapi Sukan SEA akan bermula pada Julai ini dengan mengadakan latihan di luar MSN sebelum berlepas ke Thailand bagi menjalani latihan intensif bersama skuad silat negara jiran itu.

5. Sekolah di Perancis daftar kambing sebagai 'pelajar'

Sekolah Rendah Jules Ferry di Crêts-en-Belledonne, sebuah bandar kecil di kaki gunung Alps yang dihuni kurang 4,000 orang dilapor mendaftarkan 15 ekor kambing sebagai 'pelajar'.

Langkah simbolik tersebut diambil sebagai usaha menyelamatkan kelas di sekolah terbabit daripada ditutup.

Menurut laporan media tempatan, The Local, Michel Girerd mahu membantu ibu bapa yang bimbang pendidikan anak-anak mereka bakal terjejas sekiranya kelas ditutup.

Girerd datang ke sekolah itu dengan hampir 50 ekor kambing, 15 daripadanya didaftarkan secara rasmi selepas mengemukakan sijil kelahiran.

Kemasukan 'pelajar' baharu ke sekolah itu minggu lalu diraikan dalam sebuah majlis ringkas yang dihadiri kira-kira 200 orang termasuk guru, pelajar dan pihak berkuasa.