Penjawat awam Johor bakal terima bonus Aidilfitri

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penjawat awam di negeri ini bakal menerima bantuan khas kewangan sempena sambutan Aidilfitri, kata Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara lanjut berhubung pemberian bantuan itu akan diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

"Bantuan berkenaan akan diagihkan menjelang sambutan hari raya,” katanya kepada pemberita selepas program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) 2019 yang turut disertai lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi, di sini, awal hari ini.

Difahamkan, lebih 16,000 penjawat awam di negeri ini bakal menerima bantuan berkenaan.

Mengikut rekod, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019, November tahun lepas, bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata kerajaan Johor bersetuju memberikan bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam di negeri ini tahun ini. Bantuan kepada penjawat awam negeri dan penjawat awam persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan Johor berjumlah RM1,000, dibayar pada awal Januari tahun ini manakala baki RM500 akan diberikan sempena sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Dr Sahruddin yang mengetuai konvoi Singgah Sahur berkenaan memuji penganjuran program seumpama itu.

"Ini program yang bagus yang mana kita memberi bantuan dan saya galakkan kepada semua, tanpa mengira lapisan masyarakat untuk teruskan program bermanfaat seperti ini dan seharusnya, badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh mengadakan program seperti ini," katanya.

Turut menyertai program sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 23 kenderaan berkonvoi ke empat lokasi membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Sultanah Aminah dan pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor bagi mengagihkan set makanan dan minuman bersahur. -Bernama