Terengganu galak hiburan bertepatan syariat Islam

20
20
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri komited memastikan bentuk hiburan di negeri ini bertepatan dengan syariat Islam bagi mencegah berlakunya perkara-perkara yang boleh mencemari nilai-nilai Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, bagi merealiasikan hasrat kerajaan negeri itu, beliau bersama penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) turut melakukan street dakwah atau dakwah jalanan di panggung wayang, di sini.

Menurutnya, dakwah yang pada masa sama turut mengedarkan risalah-risalah berkaitan solat lima waktu, cara-cara menutup aurat, penerangan mengenai lesbian, gay, bioseksual dan transgender (LGBT) dan lain-lain supaya dapat memberi kesedaran kepada pengunjung panggung wayang untuk menjaga nilai-nilai Islam.

“Kita buat semua ini untuk beri kesedaran tentang kesalahan-kesalahan dalam agama seperti bercumbuan, pergaulan bebas dan sesuatu yang bercanggah dengan jenayah syariah.

"Ia juga sebagai gambaran kepada masyarakat supaya mereka boleh berhibur tetapi mesti bernilaikan Islam termasuk menjaga solat fadhu sebab itu kali ini kempen kita fokus di panggung wayang, yang mana kita juga akan melihat garis-garis panduan sedia ada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di panggung wayang, PB Sentral, di sini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasaan JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail bersama 20 penguatkuasanya.

Mohd Nor berkata, pihaknya juga akan melihat pelaksanaan di panggung wayang yang ada dalam usaha memperkemaskan garis panduan kepada syarikat-syarikat panggung wayang yang beroperasi di Terengganu supaya patuh dengan syariat Islam dan tidak berlaku pencemaran terhadap nilai-nilai Islam.

Katanya, beliau telah berbincang dengan pihak panggung wayang di PB Sentral untuk tujuan itu dan memastikan semula apa yang perlu ditambahbaik termasuk dari segi lampu, kedudukan kerusi, waktu tayangan dan lain-lain.
Artikel Berkaitan:


“Saya juga akan berbincang dan membawa penilaian terhadap panggung wayang ini kepada jawatankuasa syariah lain seperti beberapa exco yang juga sedang memperkemaskan garis panduan kebudayaan, hiburan dan yang berkaitan,” katanya.