Wan Azizah ketuai delegasi Malaysia di Geneva

Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

GENEVA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke edisi keenam Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, Switzerland dari 14 hingga 16 Mei.

Wakil Tetap Malaysia di Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Amran Mohamed Zin berkata, Dr Wan Azizah dijadual menyampaikan ucaptama pada dua sesi utama persidangan itu yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva (CICG).

"Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis pembukaan GPDRR dan sesi pleno sejurus selepas itu, dengan beliau akan menjadi pemimpin pertama untuk menyampaikan ucapan rasmi negara pada sesi itu.

"Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi khas GPDRR yang bertemakan Women Leadership in Disaster Risk Reduction (DRR),” katanya kepada media Malaysia mengenai lawatan Dr Wan Azizah itu di sini, pada Isnin.

Dr Wan Azizah juga dijadual menyertai sesi meja bulat peringkat menteri pada Khamis di mana beliau akan menyampaikan ucapan yang relevan dengan tajuk sesi itu - Risk-Informed Investment and Economics of DRR. Beliau berkata, penyertaan Dr Wan Azizah pada persidangan itu amat signifikan, bertepatan dengan kepentingan dasar dan pendekatan proaktif kerajaan baharu Malaysia terhadap isu-isu berkaitan pengurangan risiko dan pengurusan bencana.

GPDRR adalah acara dwitahunan yang diselaraskan oleh United Nations Office for Disaster Risk Reduction dan adalah forum paling utama di peringkat antarabangsa untuk perkongsian strategik, koordinasi, pembangunan perkongsian dan semakan pembangunan pelaksanaan instrumen pengurusan risiko bencana.

Tema GPDRR kali ini ialah "Resilience Dividend: Towards Sustainable and Inclusive Societies” dan antara isu utama yang akan dibincangkan ialah pengurangan risiko bencana yang saling berkaitan dengan agenda pembangunan global, pelaburan dalam pengurangan risiko bencana, pemulihan dan pembangunan semula yang lebih baik dan status pembangunan dan pelaksanaan strategik DRR.

Amran berkata, selain itu jadual padat Timbalan Perdana Menteri diisi dengan pelbagai program bermula pada hari ketibaannya di sini pada Selasa di mana beliau akan menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Artikel Berkaitan:

Pada hari sama, Dr Wan Azizah juga akan menghadiri sesi iftar dan dialog bersama rakyat Malaysia di Geneva. Sementara itu pada Rabu, Dr Wan Azizah akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Naib Presiden Indonesia Mohamed Jusuf Kalla yang turut menyertai GPDRR untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama Malaysia-Indonesia.

Beliau kemudian akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi dan disusuli dengan sesi taklimat di ibu pejabat UNHCR, di sini.

Dr Wan Azizah juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual mengadakan lawatan ke Pusat Kebudayaan Islam Geneva dan akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan pusat Islam itu.

"Dr Wan Azizah akan berlepas pulang ke Malaysia pada 16 Mei selepas selesai menghadiri sesi meja bulat peringkat menteri,” katanya. -Bernama