Juadah sahur untuk pasukan keselamatan

Ahmad Shah (kiri) bersalaman dengan anggota polis dari Balai Polis Chabang Tiga.
Ahmad Shah (kiri) bersalaman dengan anggota polis dari Balai Polis Chabang Tiga.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hampir 100 bungkus juadah diagihkan kepada anggota keselamatan di sekitar Kuala Terengganu, dalam program Singgah Sahur anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Program anjuran bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pemuda Pas DUN Bandar itu bagi meraikan anggota yang bertugas di balai polis, balai bomba dan pos-pos pengawal.

Konvoi melibatkan 20 peserta itu bermula pada jam 12 malam, dan turut disertai Penyelia i-MiTS, Sayyid Hasan; Belia i-MiTS, Suhaimie Ghazali; Ketua Pemuda Pas DUN Bandar, Ahmad Nazmi dan ahli jawatankuasa Pemuda Pas DUN Bandar.

Ahmad Shah (dua kanan) beramah mesra dengan anggota polis dari Balai Polis Chabang Tiga dalam program Singgah Sahur.
Ahmad Shah (dua kanan) beramah mesra dengan anggota polis dari Balai Polis Chabang Tiga dalam program Singgah Sahur.

Menurut Ahmad Shah, konvoi Singgah Sahur merupakan acara tahunan yang dimulakan oleh Pas DUN Bandar dan pada tahun ini, ia melibatkan kerajaan negeri.

“Antara lokasi pilihan ialah Balai Polis Cabang Tiga, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pos-pos pengawal di sekitar DUN Bandar.

“Ia sebenarnya program rutin kita setiap kali Ramadan, sebagai menghargai dan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan kita yang bersengkang mata demi menabur khidmat kepada masyarakat.

“Kita sedar disebabkan tugas, mungkin sukar untuk mereka dapatkan juadah sahur, jadi kita bekalkan juadah ini untuk mereka mengalas perut semasa sahur,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, selain berpeluang menyampaikan juadah sahur kepada pasukan keselamatan yang bertugas, program itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara kepimpinan kerajaan negeri dengan pasukan itu.