Ibu tunggal hidap kanser hidung rayu bantuan rumah

Rosnah yang mengalami penyakit kanser hidung menceritakan keadaannya kepada Shamsul Iskandar.
Rosnah yang mengalami penyakit kanser hidung menceritakan keadaannya kepada Shamsul Iskandar.
A
A
A

JASIN - "Saya harap kerajaan boleh bantu jika ada mana-mana rumah yang sesuai untuk saya duduki," demikian luah Rosnah Baba, 60, seorang ibu tunggal yang menghidap kanser hidung tahap empat.

Menurut Rosnah, rumah didiami kini yang terletak di Jalan Loji Air, Chinchin sebenarnya dibina atas tanah bukan miliknya.

"Sebenarnya rumah yang kami duduki didirikan atas tanah pusaka sebelah arwah suami, namun setelah kematian suami pada 2010, ada waris yang maklum, ini bukan bahagian kami, jadi saya sudah duduk di atas tanah orang sebenarnya.

"Itu sebab saya berharap sekiranya ada belas ihsan pihak tertentu sekiranya ada mana-mana rumah kerajaan bolehlah bantu saya memohon," katanya kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sempena Program Sentuhan Kasih Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail dan Setiausaha Japerun Rim, Azmi Khamis.

Mengenai penyakit kanser yang dihidapi, Rosnah berkata, ia mula disahkan pakar perubatan di Hospital Melaka sejak Mac tahun lalu setelah dia mengalami selesema yang berpanjangan dan mengeluarkan darah.

Rosnah Baba
Rosnah Baba

"Apabila saya pergi ke sebuah klinik swasta di Jasin, doktor mengesan semacam ada ketumbuhan di bahagian dalam hidung dan menyarankan saya merujuk ke Hospital Jasin dan kes kemudiannya ke Hospital Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri tidak pasti macam mana boleh dapat kanser cuma saya pernah bekerja di sebuah kilang membuat perabot selama lebih 10 tahun, sebelum berhenti kerja pada 2003, mungkin kesan habuk kayu membuatkan hidung saya jadi begini," katanya.

Sementara itu, anak bongsu Rosnah, Siti Aisyah Binti Wahid, 31, berkata, semenjak ibunya mengalami penyakit itu keadaannya agak lemah dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat selain terpaksa mendapatkan rawatan berjadual di Hospital Melaka.

"Sebelum ini saya mengikut suami yang bertugas sebagai anggota tentera di Mersing, tetapi selepas keadaan mak macam ini, saya terpaksa pindah Melaka dan duduk jaga emak bersama adik-beradik lain," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar yang juga Penyelaras Japerun Rim berkata, rumah Rosnah adalah sebahagian daripada tujuh buah rumah yang dilawati dalam program tersebut.

"Kami hadir sempena Ramadan yang mulia ini bagi menyerahkan sumbangan kepada insan-insan ini, semoga dengan sumbang itu yang berbentuk wang tunai serta barangan makanan dapatlah meringankan bebanan keluarga menjelang Aidilfitri nanti.

"Saya akan meminta perhatian daripada jabatan dan agensi berkaitan mengenai aduan Rosnah ini serta masalah-masalah lain membabitkan penerima bantuan yang diziarahi," katanya.

Program Sentuhan Kasih kemudiannya berakhir dengan majlis berbuka puasa di rumah salah seorang keluarga asnaf.