Legenda Hollywood Doris Day meninggal dunia

Doris Day meninggal dunia pada usia 97 tahun, semalam. - Foto Ridiculously Extraordinary
A
A

LOS ANGELES - Penyanyi dan pelakon legenda Hollywood, Doris Day meninggal dunia semalam pada usia 97 tahun.

Kematian pelakon filem 'Calamity Jane' dan 'Pillow Talk' serta penyanyi lagu terkenal 'Que Sera,Sera' (Whatever Will Be,Will Be) itu disahkan oleh Doris Day Animal Foundation.

Menurut kenyataan pertubuhan tersebut, Day yang juga seorang aktivis haiwan meninggal dunia di kediamannya di Carmel Valley, California dengan dikelilingi keluarga dan teman rapat.

Day dikatakan berada dalam keadaan fizikal yang baik buat usianya, sehinggalah menghidap radang paru-paru yang serius baru-baru ini.

Dilahirkan pada 3 April 1922 di Cincinnati, Day atau nama sebenarnya, Doris Mary Ann Von Kappelhoff, memulakan karier sebagai penyanyi pada tahun 1939 ketika berusia 15 tahun dan mula terkenal menerusi lagu hit 'Sentimental Journey' bersama pemuzik jazz, Les Brown dan kumpulannya pada tahun 1945.

Karier Day selama 20 tahun sebagai aktres pula bermula dengan filem 'Romance on the High Seas' pada tahun 1948, ia diikuti 40 lagi filem berbeza genre termasuk muzikal dan komedi.

Di awal kemunculan, Day pernah bercita-cita menjadi seorang penari namun terpaksa melupakan impiannya itu selepas terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kaki kanannya patah.

Sekitar tahun 1970, Day mula mengalihkan perhatian daripada membuat persembahan dan lebih menumpukan kepada pertubuhan haiwan yang diasaskannya. -BBC/Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia