Aroma kelazatan ikan bakar Tok Ma

Ikan bakar dengan resipi turun-menurun sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan.
Ikan bakar dengan resipi turun-menurun sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan.
A
A
A

SHAH ALAM - Berani, positif, sentiasa memandang ke hadapan dan tidak pernah berputus asa antara prinsip yang dipegang oleh wanita ini untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

Pemilik Tok Ma Ikan Bakar, Naidatul Fariha Mat, 35, juga mengakui cabaran yang diharungi bukan mudah dan memberikan seribu satu kekuatan untuk tampil seperti hari ini.

Katanya lagi, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian dan bukan mudah untuk bergelar seorang usahawan hebat sekiranya tiada ilmu dan pengalaman, tambahan pula apabila terpaksa bermula daripada bawah.

Sebelum ini dia pernah membuka sebuah restoran di Saujana Putra namun terpaksa ditutup selepas beroperasi lebih satu tahun atas sebab-sebab tertentu.

“Saya pernah memiliki sebuah restoran menjual ikan bakar suatu ketika dahulu namun terpaksa ditutup akibat sebab-sebab tertentu,” katanya.

Ikan bakar yang dijual.
Ikan bakar yang dijual.

Dibantu ibunya, Normah Tawang, dia sekarang lebih selesa beroperasi melalui food truck kerana masa yang lebih fleksibel dan lebih mudah diuruskan.

Dengan food truck yang dibeli dengan modal sendiri itulah dia menjual menjual pelbagai jenis ikan bakar antaranya ikan pari, keli, terubuk, siakap, tilapia, cencaru dan kembung dengan harga yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas kedai ditutup, lebih satu tahun juga dia tidak terlibat dalam perniagaan makanan namun ramai pelanggan tetapnya merindui ikan bakar Tok Ma.

“Selepas berbincang dengan suami dan ibu, kami ambil keputusan untuk jalankan perniagaan menjual ikan bakar Tok Ma menggunakan food truck,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Seksyen 13 di sini baru-baru ini.

Menurut Fariha, keistimewaan ikan bakar Tok Ma ialah resipi turun-temurun milik keluarganya daripada Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

Bangkit kembali

Berbekal usaha dan semangat, Fariha mula menapak sedikit demi sedikit sekaligus melupakan kejatuhan perniagaannya yang lalu.

“Alhamdulillah, biarpun dah tak ada lagi restoran macam dulu boleh dikatakan pendapatan yang kami peroleh meningkat tinggi berbanding masa kami uruskan restoran dahulu, mungkin sebab perniagaan secara trak makanan ini kosnya lebih jimat.

“Jadi dekat situ dah banyak boleh jimat, kami berdua guna peluang ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Naidatul (kanan) bersama suaminya.
Naidatul (kanan) bersama suaminya.

Petua perniagaan

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan merupakan asam garam untuk menjadikan sesebuah perniagaan yang diusahakan itu berjaya.

Justeru, Fariha berkata, apa yang penting adalah keikhlasan dalam penghasilan sesuatu yang terbaik kepada pelanggan.

“Dalam perniagaan makanan, kita kena sediakan makanan seolah-olah macam kita sendiri yang nak makan.

“Bila nak masak kena ikhlas. Sebab bila kita ikhlas, percayalah pelanggan akan yakin dengan apa yang kita sajikan,” katanya.

Sentiasa jaga hubungan pelanggan

Katanya, hubungan dengan pelanggan sentiasa dijaga untuk menggalakkan mereka kembali membeli lagi.

“Jangan sesekali sombong dengan pelanggan. Kena baik dan sentiasa bertolak ansur.

“Misalnya jika ada rungutan atau sebarang komen, kena tangani dengan sebijaknya. Namun sepanjang saya berniaga ini alhamdulillah, mereka memberikan komen yang positif,” katanya.