Pakej gerenti lulus: Kementerian, JPJ ambil tindakan

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian semalam.
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan ke atas isu pakej gerenti lulus lesen memandu yang masih lagi ditawarkan di pusat memandu di negara ini.

Anthony Loke bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai bentuk tindakan susulan yang bakal diambil dan akan memberikan maklum balas selepas maklumat lengkap diperoleh berkenaan isu tersebut.

“Tindakan akan diambil. Lebih baik kita tak komen dulu (buat masa ini),” katanya kepada wartawan Sinar Siasat ketika dihubungi.

Julai tahun lalu, Anthony Loke menyatakan pelaksanaan penilaian pemanduan komputer atau e-TESTING bagi ujian Bahagian II (Litar) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka diguna pakai di seluruh negara bermula tahun depan.

Menurutnya, projek perintis ‘e-testing’ berkenaan akan dijalankan di tiga buah sekolah memandu di Johor Bahru selama tiga bulan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Sistem itu, dijamin bukan sahaja lebih telus bahkan dapat menghapuskan tawaran pakej gerenti lulus yang lebih mahal berbanding harga siling.

ARTIKEL BERKAITAN: JPJ ' panas' lagi

Sementara itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawainya jika didapati terlibat sebagai dalang dalam kegiatan penawaran lesen memandu ‘gerenti lulus’.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, JPJ akan segera mengambil tindakan berhubung pendedahan terdapat kakitangan JPJ menerima habuan atau duit kopi dalam kes lesen memandu gerenti lulus dikesan ditawarkan sekolah memandu yang beroperasi secara haram di beberapa lokasi di Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Komplot rasuah sekolah memandu, JPJ

“Akan ambil tindakan,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatApps kepada Sinar Siasat. Pada masa sama beliau berkata, JPJ akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membendung isu tersebut.

“Pihak JPJ akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan kes ini,” katanya.

Dalam pada itu Shaharuddin berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menawarkan dan menerima rasuah bagi memperoleh lesen memandu.

“Melalui Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu (jkpim), institut memandu boleh digantung jika di dapati menawarkan rasuah kepada anggota JPJ yang bertugas. Manakala orang awam yang dikesan memperoleh lesen secara tidak sah, akan dbatalkan lesen mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendedahan Sinar Siasat semalam mengenai sindiket lesen gerenti lulus atau komplot rasuah sekolah memandu bersama dalang dipercayai individu yang berkhidmat dalam JPJ sendiri.