China kenakan cukai RM250 bilion ke atas barangan AS

Trump mengarahkan duti baharu ke atas barangan import dari China bernilai RM1.2 trilion.
Trump mengarahkan duti baharu ke atas barangan import dari China bernilai RM1.2 trilion.
A
A
A

BEIJING - China mengumumkan akan mengenakan tarif berjumlah AS$60 bilion (RM250 bilion) ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bermula 1 Jun depan di bawah langkah perang perdagangan terbaharu antara kedua-dua negara tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas Washington mengumumkan rancangan untuk mengenakan cukai ke atas semua barangan import Beijing ke negara itu.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Dasar Tarif Majlis Negara, duti import tersebut adalah antara 5 hingga 25 peratus.

Jumaat lalu, pusingan rundingan baharu antara dua negara kuasa ekonomi di dunia itu berakhir tanpa sebarang kata putus.

Presiden AS, Donald Trump mendakwa Beijing melanggar perjanjian dengan menolak komitmen awal yang dibuat ketika rundingan sebelum ini.

Susulan itu, beliau mengarahkan Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer untuk mengenakan duti baharu terhadap barangan import dari China bernilai AS$300 bilion (RM1.2 trilion).

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata, kepimpinan mereka akan mempertahankan negara itu daripada sebarang tekanan pihak asing.

"Menaikkan tarif tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Beijing tidak akan menyerah kalah kepada tekanan luar. Kami mempunyai keazaman dan keupayaan untuk melindungi hak dan kepentingan sah kami. Tunggu dan lihat apa tindak balas Beijing," katanya. - Agensi

Artikel Berkaitan: