Ternakan khinzir, katak dipercayai punca sungai di Port Dickson tercemar

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) di lokasi pembuangan enap cemar berminyak yang menyebabkan pencemaran sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson dekat sini, dipercayai hasil aktiviti ternakan khinzir dan katak, di sebuah premis berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata, ia berdasarkan kesan lemak dan enapcemar berminyak yang terdapat berhampiran sungai terbabit.

“JASNS menerima aduan penduduk pada 31 Mac lalu berkaitan pembuangan enap cemar berminyak dari premis MYYK ke sungai di Kg Baru Site C, Port Dickson.

"Susulan itu satu pasukan penguatkuasa JASNS telah ke lokasi aduan pada hari yang sama, bagi tujuan siasatan lanjut. Hasil siasatan di premis MYKK mendapati aduan berkenaan tiada kaitan dengan pencemaran sungai, dan berdasarkan sampel yang diambil pegawai-pegawai daripada jabatan ini, mendapati ia tidak berminyak dan tiada bau minyak. Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk mengenal pasti kandungan sebenar.

“Bagaimanapun siasatan lanjut JASNS di lokasi aduan mendapati, terdapat aktiviti ternakan dan tempat sembelihan khinzir juga ternakan katak. Hasil siasatan berhampiran sungai tersebut berkemungkinan pencemaran sungai tersebut disebabkan aktiviti dari ternakan khinzir dan katak berdasarkan kesan lemak dan enapcemar yang berminyak tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya aktiviti-aktiviti ternakan dan sembelihan khinzir dan ternakan katak ini bukan di bawah bidang kuasa JASNS, dan ianya di bawah Jabatan Veterinar.

Sementara itu, mengenai aduan pencemaran Sungai Lenggeng pada 7 April lepas, pihaknya mendapati sungai yang tercemar tersebut adalah Sungai Machang iaitu anak Sungai Lenggeng.

“Pasukan Penyiasat JASNS mendapati air sungai tersebut keruh dan berdasarkan siasatan mendapati terdapat aktiviti pengorekan pasir di hulu Sungai Machang tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Keluasan pengorekan pasir adalah 16.67 hektar. Premis mempunyai permit dari Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dan juga ulasan dari JAS Negeri Sembilan. JASNS mendapati premis gagal menyediakan kawalan hakisan dan kelodakan seperti yang disyorkan dalam surat ulasan JASNS.

“Tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil JASNS iaitu telah mengemukakan surat kepada Badan Kawal Selia Air, Pejabat Tanah dan Daerah dan Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk mengambil tindakan susulan bawah bidang kuasa agensi berkaitan memandangkan aktiviti ini tidak tertakluk di bawah bidang kuasa JAS,” katanya. - Bernama