Dr Maszlee terajui Jawatankuasa Pemeriksaan TVET

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran (dua, kiri) beramah mesra bersama salah seorang pesakit Irene Woo Oi Ling, 59, semasa mengadakan lawatan ke Pusat Neuro-Robotic Rehabilitation Cybernics selepas majlis perasmian pusat tersebut di Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka dekat Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
A
A

JASIN - Jawatankuasa Pemerkasaan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Nasional akan diterajui Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi merangka polisi baharu yang lebih relevan dalam melaksana agenda TVET mengikut keperluan industri.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, keputusan baharu itu dicapai dalam satu mesyuarat khas pada Rabu lepas yang mana jawatankuasa itu juga akan dianggotai beberapa menteri atau kementerian yang berkaitan TVET.

"Jawatankuasa TVET yang baharu ini telah digabungkan dengan sebelum ini yang diterajui Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan ia akan diterajui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

"Tujuannya kita mahu melihat semula isu TVET ini secara lebih menyeluruh dan merangka strategi baharu bagi memperkasa kedudukan TVET," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turut meluangkan masa kira-kira 30 minit berdialog dengan pelajar ILP itu bagi memberi penerangan ringkas tentang kepentingan TVET pada masa depan.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata, penumpuan khusus yang lebih jelas akan diberikan terhadap pelaksanaan TVET di institusi latihan di seluruh negara termasuk di ILP dan kolej vokasional pada masa akan datang.

Beliau berkata, tumpuan khas itu melibatkan pelbagai aspek termasuk peruntukan dan infrastruktur yang lebih baik untuk melahirkan tenaga kerja mahir.

Katanya, ia selaras dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan di negara ini yang lebih menitikberatkan pengambilan tenaga kerja berkemahiran berbanding aspek akademik bagi menghadapi Revolusi Industri (IR) 4.0.

"Apa yang kita dapat lihat sekarang ini banyak kursus yang ditawarkan di universiti tetapi tiada peluang pekerjaan berbanding institusi teknikal, lebih banyak peluang yang ada khususnya menjelang IR 4.0, ekonomi digital dan kecerdasan buatan," katanya.

Beliau berkata, tumpuan khusus berkenaan juga bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan iaitu kira-kira 35 peratus pada tahun depan berbanding hanya 28 peratus pada masa kini.v - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia