Ketua Audit Negara sendiri tak persoal kewujudan CMI: Guan Eng

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiada sebarang salah laku dalam penubuhan syarikat pelaburan kerajaan negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri Diperbadankan (CMI), bahkan Ketua Audit Negara sendiri tidak mempersoalkannya, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata demikian semasa memberi keterangan dalam kes saman terhadap kenyataan pemangku Ketua Pemuda Gerakan Jason Loo mengenai penjualan tanah di Peel Avenue kepada Island Hospital, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata CMI ditubuhkan untuk mengurus aset dan hartanah milik kerajaan negeri dan semua keputusan dibuat oleh Exco Pulau Pinang.

"Sejak tertubuhnya CMI pada 2009, Ketua Audit Negara tidak ada membuat sebarang komen mengenai CMI dan tiada apa-apa masalah sebagai syarikat pelaburan kerajaan negeri," kata beliau.

Beliau berkata antara sebab penubuhan CMI ialah kerajaan negeri mempunyai keterbatasan dalam hal-hal berkaitan tanah yang dikaitkan dengan Kanun Tanah Negara.

"CMI menyimpan kira-kira wangnya sendiri dan semua perbelanjaan operasi dimasukkan ke dalam tabung kewangan negeri yang disatukan. Kami tidak mahu mewujudkan akaun berasingan pada waktu itu untuk mengelak sebarang penyelewengan dan memastikan segala prosedur mempunyai akauntabiliti,” kata beliau.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut mendakwa beliau menjadi sasaran serangan peribadi berhubung penjualan tanah di Peel Avenue itu dua tahun lepas.

Semasa diperiksa oleh peguam yang mewakili Guan Eng, Datuk N. Mureli, beliau berkata Jason telah menyerangnya atas kapasiti rasmi dan peribadi dengan pembohongan dan cuba mengaitkannya dengan rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Nama saya, Lim Guan Eng, dan kedudukan saya atas kapasiti Ketua Menteri Pulau Pinang disebut-sebut banyak kali pada waktu itu di dalam artikel tersebut dan Jason gagal menunjukkan bukti bagi tuduhan-tuduhannya,” kata beliau.

Guan Eng telah memfailkan tiga saman terhadap pernyataan fitnah Jason pada pada sidang media pada 27 Mei 2017 mengenai penjualan tanah itu.

Pada Februari 2018, Guan Eng memfailkan tiga saman fitnah berasingan terhadap Jason kerana berniat jahat mengeluarkan kenyataan palsu dan memfitnah selain terhadap akhbar The China Press Bhd dan Guang Ming Ribao kerana menerbitkan kenyataan itu.

Peguam Yiew Voon Lee mewakili kedua-dua akhbar harian itu manakala Jason sebagai defendan mewakili dirinya sendiri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop bersambung pada 17 Jun depan. - Bernama