Abdul Hadi nafi restu menantu dedah 'kartel dedak'

Abdul Hadi. Foto: Sharifuddin Abdul Rahim
Abdul Hadi. Foto: Sharifuddin Abdul Rahim
A
A
A

AMPANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang nafi memberikan restu kepada menantunya, Zaharudin Muhammad mendedahkan 'kartel dedak' yang membabitkan pemimpin Pas.

Abdul Hadi berkata, dakwaan kononnya beliau merestui pembongkaran yang dibuat menantunya itu adalah tidak benar.

"Saya restu itu tak betul, isu restu ini memang tak timbul. Tak ada restu," katanya pada sesi dialog dan majlis berbuka puasa Pimpinan Pas Pusat bersama media di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Zaharuddin dalam entri Facebooknya baru-baru ini menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan ‘kartel’ itu bertujuan mengelak serangan parti lawan, yang didakwa mempunyai audio penting untuk digunakan menjelang PRU14 Mei tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pendedahan 'kartel dedak' yang dibongkar menantunya ialah 'filem' lama yang sengaja ditayangkan semula.

"Itu (kartel dedak) itu 'filem' lama yang sudah ditayang, ia sudah selesai.

"Kita anggap perkara itu dah selesai, ia libatkan disiplin," ujar Abdul Hadi.

Mengulas lanjut perkara sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan pendedahan Zaharuddin itu akan disiasat dan akan didakwa oleh Jawatankuasa Disiplin Pas.

Artikel Berkaitan:

"Kita dimaklumkan, kita terima aduan berhubung perlanggaran tatatertib parti.

"Jawatankuasa Disiplin Pas akan buat keputusan. Aduan itu akan disiasat dan dibuat pendakwaan," katanya.

Sebelum ini, bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas itu mendedahkan lima pemimpin Pas terbabit dengan ‘kartel dedak’ berhubung penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Namun, lima nama pemimpin berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas oleh Zaharudin sebaliknya diletakkan mengikut singkatan nama pemimpin berkenaan.

Pada majlis sama, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika ditanya kaitan dirinya dengan senarai kartel yang didedahkan enggan mengulas sebaliknya meminta soalan itu ditanya kepada Presiden Pas.

"Jangan tanya saya, pergi tanya di dalam (bilik sidang media) di sana ada semua jawapan," katanya ringkas.