Tutup syarikat tak untungkan GLC: MB Perak

Ahmad Faizal. Foto: Bernama
Ahmad Faizal. Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Usaha memulihkan badan berkanun kerajaan negeri merupakan salah satu cabaran besar Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika bulan pertama mengambil alih kerajaan negeri terdapat beberapa badan berkanun yang dikenalpasti tidak mampu membayar gaji pekerja mereka.

Beliau berkata, disebabkan itu kerajaan terpaksa membuat penstrukturan semula semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memulihkan badan-badan berkanun ini.

"Alhamdulillah kita telah berjaya mencapai beberapa 'key milestone' dalam memulihkan GLC negeri khususnya dalam menghentikan kerugian yang ditanggung oleh pengurusan badan berkanun.

"Perkara serta-merta yang telah kita lakukan adalah menutup operasi syarikat-syarikat yang tak pernah membawa keuntungan atau yang terkeluar daripada bidang badan berkanun tersebut.

"Sebagai contoh, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak mengeluarkan modal jutaan ringgit meniaga barang kosmetik. Mereka sepatutnya membantu rakyat memacu ekonomi melalui pembangunan pertanian di seluruh negeri Perak," katanya satu sesi temubual khas Setahun Kerajaan Pakatan Harapan Perak di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak lama, di sini.

Katanya, memandangkan perniagaan tersebut lari daripada matlamat asal badan berkanun tersebut, anak syarikat tersebut telah ditutup.

Ahmad Faizal berkata, selain itu pihaknya juga telah menyemak banyak perjanjian-perjanjian berat sebelah yang merugikan badan-badan berkanun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk berunding semula dengan pihak ketiga melibatkan perjanjian tersebut tetapi satu persatu berjaya lakukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut bertindak memotong gaji pegawai yang terlalu tinggi walaupun syarikat mengalami kerugian.

"Waktu saya mula-mula menjadi menteri besar, saya terkejut bagaimana menteri besar sebelum ini boleh membenarkan pegawai-pegawai di badan berkanun ini mempunyai gaji yang lebih dua atau tiga kali ganda lebih tinggi daripada gaji menteri besar.

"Mereka juga memegang beberapa jawatan di anak-anak syarikat badan berkanun selain dari syarikat induk. Kita juga telah hentikan amalan mengutip bayaran komitmen," katanya.

Ahmad Faizal berkata, selepas pemulihan itu, banyak GLC yang menunjukkan perkembangan positif termasuklah Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perak Corporation Berhad (PCB) malah Taman Tema Animasi Studio (MAPS) yang berdepan pelbagai masalah turut berjaya diselamatkan.