Dua lelaki ditahan kes tetak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAMA - Polis berjaya menahan dua lelaki berusia 46 dan 59 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tetak di sebuah restoran di Jalan Sir Chulan di sini, 3 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, hasil risikan mendapati suspek berkenaan terlibat dalam satu pergaduhan hingga mencederakan dua lelaki berusia 23 dan 26 tahun.

Menurutnya, suspek ditahan di Kampung Air Itam dan Changkat Lobak, Bagan serai, hari ini.

"Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, dua mangsa ditemui dalam keadaan parah dipercayai ditetak sekumpulan empat lelaki dalam satu pergaduhan di restoran berkenaan.

"Mangsa mengalami patah tangan dan cedera belakang badan dibawa ke Hospital Selama sebelum dirujuk ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa dalam keadaan stabil," katanya.

Mohd Sabri berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada salah faham mengenai perniagaan.

"Sebelum kejadian, mangsa dan suspek makan semeja. Ketika bertengkar, salah seorang suspek telah mengambil parang kecil dari dalam keretanya lalu menetak mangsa.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan diteruskan bagi mengesan dua lagi suspek yang masih terlepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.