Tiada permintaan rasmi ubah status laporan 13 Mei

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Mazlan Mansor (dua, kanan) ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan belum menerima sebarang permintaan rasmi untuk mengubah status laporan mengenai peristiwa 13 Mei 1969, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian, mengulas kenyataan Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang juga seorang penulis, Kua Kia Soong pada Ahad, meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengubah status laporan peristiwa 13 Mei.

“Mungkin ia hanya pandangan sesetengah pihak. Namun apa yang penting, ia merupakan perkara yang telah berlaku, kita kini melihat kepada keadaan sekarang ini dan juga masa hadapan,” kata Muhyiddin di sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, PH telah berjanji untuk berlaku adil dan menguruskan apa juga isu secara sama rata, mengutamakan kepentingan ramai, tidak diskriminasi, memastikan negara sentiasa aman dan harmoni dan juga menentang sebarang diskriminasi terhadap bangsa dan agama.

Lebih penting lagi katanya, adalah untuk rakyat Malaysia belajar dari sejarah dan memastikan Malaysia tidak akan menghadapi masalah yang sama di masa hadapan.

“Tidak guna bangkit cerita lama...sebagai pengajaran yang penting ialah apa yang dilakukan sekarang dan masa depan,” katanya.

Berhubung laporan mengenai sindiket tonto yang dikesan bertindak berani memasang alat sistem pengesanan global (GPS) pada kenderaan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Muhyiddin berkata polis boleh bertindak jika mereka mengganggu tugas pihak keselamatan yang menjaga kawasan sempadan.

"Mereka tidak ada hak dan kalau terlibat akan dianggap sebagai ejen pihak yang hendak membuat kekacauan, maka polis berhak mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya. - Bernama