Kerajaan Selangor gandakan usaha pikul amanah rakyat

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu merupakan penggal ketiga rakyat Selangor memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) setelah menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008 dan 2012.

Dengan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU14 di mana daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PH memenangi 50 kerusi, lima kerusi dimenangi BN dan Pas satu kerusi, kerajaan PH Selangor akan terus menggandakan usaha dalam memikul amanah dan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyifatkan peranan barisan kepimpinan PH adalah penting dalam meyakinkan rakyat bahawa parti itu akan dapat menerajui negara dengan jayanya.

Amirudin berkata sebagai menteri besar, beliau akan terus memberi penekanan dalam aspek kebajikan rakyat selain memperkasakan Selangor sebagai negeri maju.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata usaha menjadikan Selangor sebagai negeri maju sekali gus mengekalkannya, tidak dicapai dalam tempoh yang singkat

"Kita telah melakukan pelbagai perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri selain daripada memastikan pentadbiran berjalan baik, mengelakkan rasuah mahu pun pembaziran.

"Begitu juga dengan perlaksanaan program berbentuk kepedulian kepada rakyat yang sudah pasti ini menjadi tema dan contoh sehingga negeri Selangor dianggap sebagai model kepada pentadbiran baharu di negara ini," katanya di sini.

Antara agenda yang diberi penekanan itu adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan pelbagai berbentuk bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Skim Peduli Sihat dan Rumah Selangorku.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program berbentuk kepedulian rakyat itu akan diperluaskan bagi membantu memperbaiki taraf hidup dan kebajikan rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan di perkukuhkan supaya aspirasi dan dasar kerajaan dapat dipenuhi selain memastikan rakyat terus menyokong pentadbiran kerajaan baharu itu.

"Sudah pasti tanggungjawab kita sebagai pemimpin bukan ringan dan sebaliknya ia perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

"Selain itu, kita perlu muhasabah pada setiap masa dan waktu serta melakukan penilaian kendiri agar dapat perbaiki kelemahan dalam masa yang sama mampu memenuhi keperluan serta kehendak rakyat," katanya. - Bernama