Kutipan cukai taksiran MPJ meningkat

Mustaffa (kiri) bersama pembayar cukai yang memenangi hadiah berupa sebuah motosikal ketika sesi penyerahan itu.
Mustaffa (kiri) bersama pembayar cukai yang memenangi hadiah berupa sebuah motosikal ketika sesi penyerahan itu.
A
A
A

JASIN - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) komited meningkatkan pungutan cukai taksiran pada tahun ini dengan beberapa inisiatif bagi memberi kesedaran berterusan kepada penduduk.

Yang Dipertuanya, Mustaffa Ali berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpulkan RM4,292,536 dan jumlah itu mencatatkan peningkatan RM31,765 berbanding tahun lalu sebanyak RM4,260,770.

Menurutnya, walaupun peningkatan berkenaan sedikit namun paling penting menunjukkan kesedaran dalam kalangan penduduk semakin bertambah termasuk dan sikap masyarakat yang tidak lagi bertangguh dalam melunaskan cukai mereka.

Katanya, pembayaran cukai tepat pada waktunya itu juga mampu meningkatkan ekonomi daerah Jasin dan juga negeri, sekali gus membolehkan segala bentuk perancangan pembangunan dapat dilakukan.

"Kita melihat kesedaran dan keprihatinan penduduk Jasin untuk menjelaskan cukai taksiran semakin bertambah.

"MPJ menghargai mereka yang menjelaskan dan berharap mereka dijadikan contoh kepada pemilik premis lain," katanya.

Mustaffa (tengah) bersama sebahagian pembayar cukai dalam daerah Jasin.
Mustaffa (tengah) bersama sebahagian pembayar cukai dalam daerah Jasin.

Tambahnya, beliau bersedia untuk berunding dengan mereka yang mempunyai tunggakan besar bagi membolehkan mereka melakukan pembayaran secara ansuran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu MPJ turut menawarkan hadiah menarik berupa motosikal dan barangan elektrik sebagai penghargaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terhadap pembayar cukai taksiran yang membayar mengikut tempoh di samping menggalakkan masyarakat melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.

"MPJ juga menyeru penglibatan seluruh warga Jasin untuk menyokong inisiatif yang direncanakan pihak kami ke arah menjadikan daerah Jasin sebagai sebuah perbandaran dinamik yang mengutamakan pembangunan lestari dan bestari menjelang tahun 2020," katanya.