Dugaan Ramadan

BBP Kuala Selangor memantau sisa kebakaran di Batu 22 ½, Kampung Pasir Tuntong di sini pagi tadi.
BBP Kuala Selangor memantau sisa kebakaran di Batu 22 ½, Kampung Pasir Tuntong di sini pagi tadi.
A
A
A

PASIR TUNTONG – Jeritan kuat mengejutkan lapan sekeluarga di Batu 22 ½, di sini sebelum menyedari stor dan rumah mereka terbakar, pagi tadi.

Mangsa kebakaran, Remy Iskandar Mustafa, 46, terkejut mendengar jeritan bapa saudaranya yang ketika itu mahu keluar ke tempat kerja kira-kira jam 7.10 pagi.

“Masa tu saya baru selesai solat subuh dekat surau. Memang nak rehat-rehat dalam rumah dan hampir nak terlelap tapi bila dengar orang jerit api...api tu saya terus keluar.

“Saya terkejut bila tengok api dari tepi stor barangan terpakai dan cepat-cepat suruh isteri dan anak keluar selamatkan diri,” katanya.

Katanya, dia cuba untuk menyelamatkan dokumen penting dan cuba memadamkan api dengan menggunakan baldi air namun gagal kerana api semakin marak sehingga merebak ke stor.

“Api terus marak musnahkan stor barangan terpakai dan seluruh rumah,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sinar Harian difahamkan, Remy Iskandar sekeluarga menumpang berteduh di surau atau balai raya berhampiran buat sementara waktu.

“Nasib baiklah rumah pusaka keluarga yang berada di sebelah rumah tak kena sebab bomba pantas padamkan api.

Artikel Berkaitan:

“Memang sedih tapi reda dengan ketentuan ALLAH. Berat hati ini sebab memikirkan macam mana nak sambut raya tak lama lagi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya ke akaun Public Bank 3142579136 atas nama Remy Iskandar Mustafa atau menghubunginya di talian 0193470445 atau 0136407888.

BBP Kuala Selangor memadamkan sisa kebakaran di Batu 22 ½, Kampung Pasir Tuntong di sini pagi tadi.
BBP Kuala Selangor memadamkan sisa kebakaran di Batu 22 ½, Kampung Pasir Tuntong di sini pagi tadi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Rozali Jaimi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.43 pagi.

“BBP Kuala Selangor dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota terus bergegas ke lokasi kejadian dan mula operasi memadamkan kebakaran pada jam 7.53 pagi.

“Kami berjaya kawal kebakaran dalam masa 10 minit supaya tidak merebak ke rumah berhampiran dan padam sepenuhnya pada jam 11 pagi tadi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan kos kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Rozali menjelaskan, kebakaran melibatkan rumah kelas C termasuk sebuah kedai barangan terpakai seluas 30x60 kaki persegi musnah 100 peratus.

“Kerja pemadaman api melibatkan bantuan 24 pegawai dan anggota BBP Tanjong Karang, Bestari Jaya dan Batu Arang.

“Operasi ini turut dibantu lima ahli pasukan bomba sukarela Sungai Buloh untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor diketuai Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman turut berada di lokasi selepas menerima laporan.