Hathim rindu nak jumpa Jaclyn Victor

Sheila Mohamad menziarahi Hathim Thai di rumahnya.
A
A

SUATU ketika dahulu, pada era 90-an, nama mekap artis Hathim Thai cukup dikenali ramai. Antara artis yang pernah ditatarias oleh Hathim seperti Amy Mastura, Ziana Zain dan Jaclyn Victor.

Namun kini, Hathim sudah tidak mampu bekerja lagi kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Oleh itu, kehidupannya agak sukar dan mendapat bantuan dari Baitumal serta ihsan dari jiran dan rakan-rakan.

Menurut mekap artis terkenal, Sheila Mohamad,yang telah menziarahi Hathim memberitahu, Hathim menghidapi penyakit anemia dan glaukoma.

“Selang dua hari, Hathim akan ke pusat dialisis. Ada kenderaan dari Baitulmal yang akan mengambil dan menghantar dia ke rumah.

“Hathim juga mempunyai masalah glaukoma. Matanya hanya boleh lihat dalam 30 peratus sahaja.

“Dengan keadaannya begitu, Hathim tak dapat bekerja lagi,” kata Sheila.

Hathim mempunyai seorang anak angkat yang kini berusia 10 tahun.

“Dia duduk berdua sahaja di rumahnya di Setapak bersama dengan anaknya.

“Anaknya masih bersekolah kebangsaan dan juga sekolah agama. Kata Hathim, walau apa pun dia tetap mahukan anaknya itu bersekolah.

“Anak lelakinya itulah yang membantu Hathim. Menguruskan rumah seperti membasuh baju,” cerita Sheila kepada Sinar Harian.

Difahamkan hampir enam tahun, mekap artis terkenal ini berkeadaan begitu namun tidak ramai yang tahu sehinggalah kumpulan mekap artis Malaysia datang melawat.

“Apabila Hathim mendapat tahu penyakit yang dialami, dia rasa down. Hathim tak mahu jumpa orang. Jadi tak ramai yang tahu mengenai keadaan dirinya sehinggalah baru-baru ini, dia terbuka hati untuk bertemu dengan rakan-rakan yang lain.

“Sedih apabila melihat keadaannya begitu. Sempat juga kami bertanya, siapakah rakan-rakan artis yang dia rindu sangat nak jumpa? Jawabnya Jaclyn Victor.

“Jaclyn pun bila dapat tahu, dia juga teringin untuk berjumpa dengan Hathim malah Jaclyn ingat tarikh lahir Hathim iaitu pada 19 Mei ini. Nampak mereka begitu akrab,” cerita Sheila lagi.

Sheila turut memberitahu bahawa dia bersama kumpulan mekap artis Malaysia akan menziarah Hathim lagi untuk membersihkan rumahnya pula sempena menyambut bulan Syawal tidak lama lagi.

“Hathim beritahu dia dah lama tak rasa suasana raya,” ujar Sheila sayu.

Bagi yang ingin membantu Hathim boleh hulurkan sumbangan terus ke akaun peribadi Hatim Thai Bin Ahmad Nordin (Maybank 114066616039).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia