Tiada masalah kekurangan guru bahasa Inggeris

Amin (tengah) bergambar bersama sebahagian dengan guru-guru yang menerima anugerah dalam bidang masing-masing di Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia tadi.
Amin (tengah) bergambar bersama sebahagian dengan guru-guru yang menerima anugerah dalam bidang masing-masing di Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia tadi.
A
A
A

BAYAN BARU - Kementerian Pendidikan mengesahkan tiada kekurangan guru bahasa Inggeris di seluruh negara seperti yang didakwa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, buat masa ini kementerian tidak mengalami kekurangan guru bahasa tersebut berikutan diisi oleh guru interim dan guru bukan opsyen.

Bagaimanapun, beliau mengakui berlaku kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris.

"Kita ada unjuran bilangan guru tetapi buat masa ini, tiada masalah kekurangan guru bahasa Inggeris kerana kita boleh menambah bilangan guru tersebut dengan guru interim dan guru bukan opsyen.

"Guru bukan opsyen, benar ada kekurangan tetapi dalam mengajar bahasa Inggeris, itu tak ada masalah. Kita mengambil maklum tentang kekurangan guru opsyen dan disebabkan itu, kementerian sedang berusaha untuk menangani masalah tersebut," katanya kepada media tadi.

Sebelum itu, beliau mewakili Menteri Pendidikan melancarkan Festival Guru Malaysia 2019 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini.

Terdahulu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock menggesa Kementerian Pendidikan agar menyelesaikan isu 'pokok' iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris terlebih dahulu berbanding mengarahkan guru menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Katanya, isu kekurangan guru bahasa Inggeris sudah lama meruncing dan berlarutan tanpa penyelesaian.

Artikel Berkaitan:

Amin berkata, kementerian mempunyai dua strategi iaitu kualiti dan kuantiti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam memperbaiki kemahiran pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Program ini bermula pada 2013 dan ia masih berjalan. Melalui program ini, kita bukan sahaja mengutamakan kuantiti malah mengekalkan kualiti dalam kalangan guru," katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan yang dikemukakan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam mengenai keperluan memperkenalkan skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada guru, Amin berkata, pada dasarnya kementerian bersetuju namun perlu meneliti kertas kerja terlebih dahulu.

Beliau berkata, kementerian akan meminta YGMB menyediakan kertas kerja untuk melihat beberapa perkara antaranya terma, perlindungan dan bayaran.

"Kementerian mengalu-alukan tawaran takaful ini khususnya kepada guru-guru yang bertugas mengiringi pelajar menghadiri aktiviti luar sekolah. Sebelum ini sudah ada tetapi dibuat secara individu. Tetapi cadangan ini adalah berkelompok yang mana ia lebih murah.

"Sehubungan itu, kita perlu meneliti kerja kerja terlebih dahulu terutamanya dari segi perlindungan dan terma. Sekiranya semuanya dipersetujui, kita akan laksanakan secepat mungkin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru bukan opsyen bahasa Inggeris digalakkan ambil MUET