Patriot gesa siasatan segera skandal projek land swap Kementah

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mahu kerajaan melakukan siasatan segera terhadap skandal projek land swap Kementerian Pertahanan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang terhadap bekas Menteri Pertahanan yang terlibat dalam skandal berkenaan.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tindakan segera itu wajar diambil supaya pelaku atau pegawai yang gagal mematuhi standard operasi piawai (SOP) dalam urus niaga berkenaan diheret ke pengadilan.

"Patriot menggesa siasatan dibuat dengan cepat dan menteri pertahanan yang berkhidmat antara 1997 hingga Mei 2018 diambil tindakan jika ada asas untuk disyaki. Tindakan perlu diambil terhadap pegawai yang gagal memastikan urus niaga itu mematuhi SOP" katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Patriot turut membidas tindakan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencabar kerajaan supaya membuktikan dirinya terlibat dalam skandal projek land swap yang ditandatangani di bawah pentadbirannya.

“Persoalan sama ada Hishammuddin mendapat manfaat atau tidak bergantung kepada siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Semalam, Hishammuddin mahu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong membuktikan bahawa beliau mendapat habuan daripada projek tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan dianggarkan mengalami kerugian atau ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang tempoh pelaksanaan 16 projek land swap Kementerian Pertahanan.

Laporan akhbar pada 9 Mei lalu itu mendakwa 13 daripada 16 projek itu dilakukan semasa zaman pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membabitkan Hishammuddin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Berkaitan:

Turut dilaporkan terdapat banyak banyak percanggahan ditemui termasuk penjualan tanah pada harga yang rendah, sementara projek yang lain pula diberikan kepada pemaju yang tidak berkelayakan.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu menafikan pembabitan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Menteri Pertahanan pada ketika itu.