Kekang arus liberal, fitnah isu LGBT

No Image Caption
A
A
A

ISU lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali hangat ketika ini. Tindakan memburukkan negara serta menagih simpati pengaruh asing di platform antarabangsa dengan rekayasa kesengsaraan yang didakwa menimpa golongan LGBT di Malaysia amat cocok dengan perwatakan khianat Si Kitol pada era modenisasi.

Sewajarnya, Numan Afifi, pejuang dan aktivis LGBT dipanggil oleh pihak polis baru-baru ini berikutan ucapan beliau ketika Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu.

Beliau bukan saja melemparkan tohmahan terhadap institusi agama, malah tidak berpijak di bumi yang nyata dan penuh nista. Tuduhan diskriminasi, penindasan apatah lagi keganasan terhadap golongan LGBT ibarat leteran tanpa inti dan henti.

Program mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang dituduh sebagai keganasan yang ditaja kerajaan atau “state-sponsored violence” hakikatnya bertujuan memenuhi keperluan rohani golongan LGBT yang mengetuk pintu taubat dan mencari jalan pulang ke fitrah manusiawi.

Mereka tampil atas kerelaan diri, ditatang dan dipimpin dengan hikmah dan kasih sayang tanpa sebarang paksaan, ugutan mahupun penderaan.

Namun, tuduhan jahat daripada pejuang dan aktivis LGBT tidak mengejutkan. Ada di antara mereka yang membangkitkan pertikaian apabila dua orang wanita dijatuhkan hukuman sebat oleh mahkamah syariah kerana percubaan melakukan jenayah musahaqah (lesbian) di Terengganu tahun lalu.

Pada mereka, kedua-dua wanita tersebut serta mana-mana pengamal LGBT tidak wajar dihukum hanya kerana ingin menikmati saat-saat kebahagiaan bersama pasangan pilihan mereka walaupun sesama jantina.

Mereka juga beranggapan bahawa setiap individu berhak untuk mencapai nikmat dan kepuasan seksual walau apa cara sekalipun, biarpun bertentangan dengan fitrah, agama dan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Tidak menghairankan apabila Pang Khee Teik, pengasas Seksualiti Merdeka dilaporkan oleh Malay Mail Online pada tahun 2015 sebagai berkata bahawa perbahasan mengenai pengiktirafan perkahwinan sejenis di sisi undang-undang di Malaysia masih di peringkat pra-matang.

Ini kerana menurut Pang, hak-hak yang asas bagi golongan LGBT masih dinafikan dan didiskriminasi. Kenyataan itu seakan ditujukan kepada dasar kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara yang enggan membenarkan individu transgender untuk mengubah jantina pada kad pengenalan mereka.

Ia juga dianggap menyasarkan penguatkuasaan undang-undang yang melarang lelaki berpakaian atau berlagak seperti wanita di bawah undang-undang syariah dan perbuatan seks luar tabie yang diperuntukkan sebagai kesalahan jenayah sivil.

Pang mengeluarkan kenyataan itu sejurus selepas mahkamah agung di Amerika Syarikat mengiktiraf perkahwinan sejenis dalam kes Obergefell v Hodges.

Pada masa sama pengasas kumpulan transgender Justice for Sisters, Nisha Ayub memuji keputusan mahkamah agung tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan dalam perjuangan menuntut kesamarataan bagi komuniti LGBT.

Oleh yang demikian, cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat serta menyeleweng tanggapan umum mengenai perjuangan LGBT di Malaysia tidak boleh dipandang ringan.

Pendukung hak asasi manusia dan fahaman liberalisme melontarkan pelbagai alasan dengan tujuan jangka panjang agar gaya hidup songsang LGBT ini akhirnya diiktiraf dan menjadi satu kebiasaan seperti yang berlaku di luar negara.

Mereka kerap menegaskan mengenai perjuangan hak-hak asas LGBT serta kononnya menafikan sebarang agenda untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis yang mengancam institusi kekeluargaan dan nasab keturunan.

Perkembangan arus LGBT di negara luar boleh dijadikan perbandingan dan rujukan mengenai hala tuju agenda LGBT yang diperjuangkan dalam kalangan masyarakat setempat.

Bukan saja di negara barat, arus LGBT semakin kuat berkumandang di rantau Asia apabila Taiwan merasmikan draf undang-undang bagi membenarkan perkahwinan sesama jantina pada 21 Februari lalu.

Ia berikutan keputusan mahkamah perlembagaan pada tahun 2017 yang memutuskan bahawa penafian hak perkahwinan sejenis adalah bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara.

Pada masa sama, ia juga memerintahkan agar kerajaan Taiwan meminda undang-undang berkenaan perkahwinan bagi melindungi hak pengamal LGBT menjelang 24 Mei 2019.

Pun demikian, Amerika Syarikat menunjukkan perkembangan yang memelihara amalan berasaskan budaya dan agama dalam kerangka undang-undang tempatan.

Pada 25 Jun tahun lalu, mahkamah agung di Amerika Syarikat memerintahkan agar mahkamah rendah di Washington menyemak semula keputusan yang mendapati bahawa syarikat gubahan bunga Arlene’s Flowers Inc. telah mengamalkan diskriminasi kerana enggan menawarkan perkhidmatannya kepada pasangan homoseksual.

Awal bulan itu, mahkamah agung memihak kepada pemilik kedai kek dan pastri Masterpiece Cake Shop yang didakwa telah mendiskriminasi pasangan homoseksual kerana telah menolak tempahan kek daripada pasangan gay atas sebab kepercayaan agama.

Hakim Anthony Kennedy menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Hak-Hak Sivil Colorado yang menempelak tindakan Jack Phillips, pemilik perniagaan tersebut sebagai permusuhan terhadap agama dan kepercayaan beliau yang tidak dibenarkan atau “impermissible hostility”.

Di negara jiran pula, kerajaan Brunei berdepan kecaman hebat seantero dunia berhubung perlaksanaan Arahan Kanun Keseksaan Syariah 2013 khususnya bagi kesalahan zina dan homoseksual.

Melalui satu penjelasan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Kedua Brunei, Erywan Yusof kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), disebutkan antara lain bahawa undang-undang syariah memfokuskan kepada pencegahan dan pendidikan.

Oleh itu, kerajaan sewajarnya mencontohi ketegasan Brunei mempertahankan kedaulatan negara dan undang-undang tempatan. Terutamanya apabila kedua-dua negara Malaysia dan Brunei meletakkan Islam sebagai agama negara dan mengamalkan sistem dwi perundangan iaitu sivil dan syariah.

Kerajaan juga tidak seharusnya tunduk kepada desakan aktivis liberal yang menzahirkan kebencian dan permusuhan terhadap agama.

* Danial Ariff Shaari ialah Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)