Kereta putus dua, seorang lelaki maut

Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba Johor
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang lampu di KM 4 Jalan Skudai- Pantai Lido, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Suprintendan Afzanizam Yahaya berkata, dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, kereta dinaiki mangsa jenis Proton Iswara itu turut terputus dua akibat rempuhan yang kuat.

“Siasatan awal mendapat kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki kesemua mangsa hilang kawalan akibat keadaan jalan yang licin disebabkan hujan.

“Akibat daripada itu, kereta itu kemudiannya merempuh sebatang tiang lampu di bahu jalan. Ketika kejadian kita juga tidak menemui sebarang pengenalan pada mangsa yang meninggal dunia,” katanya di sini, hari ini.

Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba Johor
Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba Johor

Bagaimanapun, Afzanizam berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang meninggal dunia itu berusian 20-an manakala yang cedera pula berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Dalam masa sama, beliau berkata, polis turut menolak kemungkinan kemalangan adalah berpunca daripada pengambilan alkohol oleh kesemua mangsa.

“Setakat ini kita menolak kemungkinan kemalangan berlaku kerana pemandu serta rakan-rakannya mabuk. Bagaimanapun siasatan terperinci dan bedah siasat masih lagi dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.